Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail ketika hadir bagi menyaksikan Tayangan Perdana Filem Anwar The Untold Story di Pavilion Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 08 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa menonton filem yang memaparkan kisah hidup serta perjuangan politiknya, ‘Anwar, The Untold Story’.

Anwar yang hadir di Dadi Cinema di Pavilion pada jam 8.15 malam ditemani isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Hadir sama menyaksikan filem biopik pada majlis anjuran DMY Creation yang juga pengedar rasmi filem berkenaan adalah Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Ahmad Fahmi Fadzil; Menteri Pendidikan (KPM), Fadhlina Sidek dan Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta Pengasas dan Pengerusi DMY Creation, Datuk Mohamed Yusoff.

Lebih 250 tetamu kehormat terdiri daripada tokoh politik, penggiat industri kreatif serta beberapa personaliti terkenal tempatan antaranya Datuk Seri Siti Nurhaliza Taruddin juga hadir.

‘Anwar: The Untold Story’ merupakan filem arahan pengarah dari Indonesia, Viva Westi dengan dibintangi pelakon popular negara, Farid Kamil Zahari yang memegang watak sebagai Anwar manakala aktres terkenal Indonesia, Acha Septriasa membawa watak sebagai Dr Wan Azizah.

Filem berlatarkan tempoh antara 1993 dan 1998 itu, menceritakan mengenai perjalanan hidup Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan serta perjuangannya dalam menentang amalan rasuah.

“Anwar: The Untold Story” yang membabitkan kos RM10 juta itu akan ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 18 Mei ini.

Kartunis, Zunar adalah penerbit eksekutif bagi filem ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast