Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said

PUTRAJAYA – Rang Undang- Undang (RUU) Ombudsman 2023 akan dibentang di Parlimen pada Oktober depan dan kini pada peringkat akhir untuk dimuktamadkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Said berkata,  fungsi RUU itu tidak akan bertindih dengan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) yang menumpukan kepada aduan berkait penguat kuasa.

“Ombudsman tidak kepada aduan berkait penguat kuasa dan bukan untuk badan siasatan, ia untuk semua jenis salah tadbiran sistem penyampaian perkhidmatan awam,” katanya dalam sidang media hari ini.

Tambah Azalina, Ombudsman merupakan satu konsep yang diterima pakai dan diiktiraf di peringkat antarabangsa dan 115 daripada 195 negara di dunia mempunyai institusi Ombudsman.

Sebelum ini, cadangan penubuhan Ombudsman Malaysia dibuat pada tahun 2018 oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamed bagi menggantikan Biro Pengaduan Awam (BPA).

Jelasnya, Ombudsman akan memastikan aduan tier kedua dan pertama diuruskan dalam keadaan tertentu bagi memastikan ada badan yang mengambil perhatian aduan yang dibuat.

“Kita mahu rakyat tahu bahawa Kerajaan Perpaduan ini memberi maklum balas kepada aduan dibuat, malah kita juga tidak mahu situasi kerajaan betul setiap masa.

“Ketika ini hampir 85 peratus aduan kategori tier pertama kepada Badan Pengaduan Awam (BPA) melibatkan aduan perkhidmatan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Rasanya hampir 20,000 aduan babitkan isu lampu jalan, longkang dan parkir. Aduan tier kedua pula membabitkan aduan secara terus ke kementerian dan agensi.

“Tapi bila mereka tidak gembira dengan respon aduan, mereka datang kepada kita, jadi itu fungsi Ombudsman kelak,” jelasnya. – MalaysiaGazette