KUANTAN – Kerajaan Pahang sedang melaksanakan empat projek tebatan banjir (RTB) dan Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bernilai sebanyak RM501 juta.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, status perkembangan projek bagi PLSB Sungai Kuantan Pakej 1 iaitu menaik taraf Sungai Belat dan membina struktur pencegah banjir kini adalah 99.73 peratus siap.
“Projek tebatan banjir lain ialah RTB Pekan Fasa 2 iaitu pembinaan tebatan Sungai Pahang dan kerja berkaitan sekitar 69 peratus serta projek Sungai Semantan, Temerloh bagi membina ban kawasan Mentakab kini lapan peratus.
“PLSB Sungai Kuantan Pakej 3 iaitu dengan membina ban pencegah banjir di Perkampungan Cenderawasih serta mempertingkatkan ban sedia ada di Perkampungan Sungai Isap serta Sungai Semantan Temerloh Fasa 1,” katanya.
Wan Rosdy berkata demikian ketika menjawab soalan V. Arumugam (Sabai-BN) pada sesi soal jawab lisan sidang Dewan Undangan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang pagi ini.
Arumugam sebelumnya bertanyakan perkembangan projek tebatan banjir di Pahang untuk mengurangkan risiko banjir berulang.
Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, tiga lagi tebatan banjir yang sedang dalam peringkat reka bentuk yang membabitkan kos RM168.7 juta.
“Antaranya ialah projek RTB Sungai Jelaj Fasa 1 melibatkan kerja pembinaan ban tebatan banjir serta kerja berkaitan reka bentuk oleh kosultan, PLSB sungai Kuantan Pakej 2 melibatkan Sungai Pandan dan Sungai Kuantan di Bukit Rangin bagi kerja pembinaan ban terbatan banjir yang masih peringkat perolehan dan RTB Tanjung Gahai di Lipis yang bernilai RM7.7 juta kini dalam proses lantikan kontraktor,” katanya.
Selain itu, beliau memberitahu, JPS telah membuat kertas permohonan cadangan RTB Daerah Bentong secara off-budget kepada Kerajaan Persekutuan dengan anggaran kos sebanyak RM410 juta pada tahun 2022 dan sehingga kini.
Menurut Wan Rosdy, kerajaan mengakui Pahang sentiasa dilanda banjir di mana ia tidak dapat dielakkan, maka menjadi tugas dan tanggungjawab kerajaan negeri untuk memohon peruntukan dari kerajaan pusat.
“Selain memberikan keutamaan mana yang lebih penting, banyak kawasan dilanda banjir pihak JPS telah buat kajian dan lazimnya permohonan ini ambil masa.
“Apabila peruntukan sampai, pihak JPS akan buat cadangan di mana tempat yang perlu diberi keutamaan untuk dilaksana projek tebatan banjir ini,” katanya. – MalaysiaGazette