Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf Perhimpunan Khas Ketua Polis Pahang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Siasatan kes lima pelatih kursus Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang didakwa menjadi mangsa pukul dalam kejadian buli di Pangkalan Udara Kuantan pada 12 April lalu, masih dalam siasatan  polis.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, terbaharu, enam suspek yang didakwa terlibat  membabitkan lima pelatih Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Pengkalan Udara Kuantan pada 12 Mei lalu telah dipanggil untuk memberi keterangan.

Menurutnya, sehingga kini kesemua suspek terbabit tidak ditahan.

“Sehingga kini, kita telah merakam lebih 10 keterangan daripada saksi termasuk suspek dan mangsa namun siasatan lanjut masih sedang berjalan.

“Kita akan memanggil sebanyak mungkin saksi dalam kalangan pelatih dan penyelia untuk mendapatkan seberapa banyak keterangan berhubung kes terbabit,

“Kalau kecederaan tidak terlampau itu mungkin ada toleransi tapi dalam kecederaan atau malah dalam kes sebelum yang kita tahu mendatangkan kematian pun ada jadi kita bukan melihat kepada bukan pelaku itu sendiri tapi pihak berautoriti yang perlu menentukan bahawa kejadian itu tidak berlaku,” katanya.

Ramli berkata,  pihaknya menjangkakan siasatan kes berkenaan tidak akan mengambil masa lama berikutan ia berlaku di satu lokasi dan tidak membabitkan saksi bebas kerana melibatkan kes dalaman.

“Kes apa-apa pun walaupun membabtkan penjawat awam, siasatannya tetap serupa kerana kesalahannya serupa. Sekiranya didapati ada elemen pelaku telah dikatakan melakukan kesalahan itu dan pada pendapat DPP (Timbalan Pendakwa Raya) perkara ini perlu dibawa untuk pertuduhan maka kita akan teruskan.

“Kita nak ingatkan kepada semua pihak yang diberi kuasa terutama dalam konteks pusat latihan supaya perkara seperti ini dapat dibendung.

“Kadang-kadang wujud persepsi bahawa benda seperti ini adalah satu ciri atau karakteristik yang menjadi budaya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Perhimpunan Khas Ketua Polis Pahang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang.

Pada majlis tersebut, seramai 43 orang bagi ketagori pegawai polis, anggota dan pegawai awam menerima sijil penghargaan Ketua Polis Pahang.

Manakala seramai tujuh orang bagi kategori awam menerima sijil penghargaan.

Terdahulu media sebelum ini melaporkan lima pelatih kursus TUDM dipukul anggota senior ketika menjalani latihan di Pangkalan Udara Kuantan.

Kejadian itu turut tular di media sosial Twitter mengenai luahan seorang wanita mendakwa adik lelakinya dibuli sekumpulan anggota berpangkat koperal di pusat latihan tentera udara berkenaan. – MalaysiaGazette