GEORGE TOWN – Parti Gerakan menyuarakan kebimbangan pelaksanaan segera projek Transit Aliran Ringan (LRT) di Bayan Lepas, di sini, sekadar ‘gula-gula’ menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Naib Presiden Gerakan, Datuk Baljit Singh berkata, kerajaan DAP sepatutnya menyelesaikan beberapa isu penting yang kini sedang berlaku di Pulau Pinang termasuk pengambilan tanah, masalah feri, banjir serta penempatan semula yang melibatkan penduduk setempat.
Jelas beliau, pihaknya bimbang pelaksanaan itu hanya dijadikan sebagai umpan untuk memancing undi.
“Saya bimbang projek ini hanya ‘gula-gula’ yang ditaburkan kerajaan perpaduan dan negeri.
“Lebih menyedihkan sekiranya terjadi projek gajah putih seperti yang berlaku pada projek terowong dasar laut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Baljit turut mempersoalkan bagaimana kerajaan negeri boleh mengatakan bahawa projek tersebut akan bermula pada pertengahan tahun hadapan sedangkan banyak isu utama belum diselesaikan.
“Saya rasa sebaik sahaja projek ini beroperasi, pelbagai isu lagi akan timbul kerana ini melibatkan banyak pihak termasuk tanah penduduk, struktur bangunaan dan paling penting masjid-masjid dan rumah ibadat.
“Saya berharap perancangan dan penelitian harus dibuat sebelum melaksanakan projek ini bukan sekadar janji manis sahaja,” katanya.
Sabtu lalu media melaporkan, Kerajaan Persekutuan memperuntukan dana tambahan menerusi satu skim besar kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi memastikan projek Transit Aliran Ringan (LRT) di negeri itu segera dilaksanakan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemberian dana tambahan itu dipersetujui susulan Pulau Pinang berdepan kesesakan lalu lintas yang keterlaluan sejak sekian lama dan LRT dilihat sebagai satu kaedah untuk mengatasi permasalahan terbabit. – MalaysiaGazette