KUALA LUMPUR – Saudara baharu yang memeluk Islam diingatkan agar tidak menjauhkan diri daripada keluarga sebaliknya terus berbakti walaupun sudah berlainan agama.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar menjelaskan, mereka sepatutnya menjadi muslim yang lebih baik dengan mengeratkan lagi hubungan dengan ahli keluarga.
“Janganlah anda semua menjauhkan diri dan ‘membuang’ keluarga kerana walaupun sudah berlainan agama, ikatan kekeluargaan tidak akan putus buat selamanya.
“Yang ada keluarga atau adik-beradik bukan Islam, kena jaga dan ambil peranan. Kalau dulu cuai dan lalai, bila peluk Islam kena jadi seorang muslim yang sebenar-benarnya.
“Teruskan berkongsi tentang kebaikan Islam kepada mereka,” katanya sewaktu membimbing tujuh orang saudara baharu yang melafazkan syahadah dengannya di Masjid Negara hari ini.
Mohd. Na’im menerima kejutan apabila diminta mengislamkan mereka yang kebetulan singgah solat Zohor di Masjid Negara.
Mengulas lanjut, beliau menasihati saudara baharu supaya tidak menggunakan Islam sebagai ‘alat’ untuk kepentingan peribadi.
Sebaliknya, kata beliau, semua saudara baharu perlu menggunakan kesempatan yang diberikan itu untuk terus bertakwa dan menyebar luaskan kebaikan Islam kepada seluruh komuniti.
Jelasnya, saudara baharu ini boleh menjadi ‘ejen’ dalam kalangan keluarga dan komuniti untuk mengembangkan lagi Islam di negara ini.
“Apabila kita peluk Islam, itu bukan ‘tiket’ untuk kita mencari kesenangan di dunia dan semata-mata untuk mengejar ganjaran di dunia. Tetapi rebut peluang ini untuk ke arah yang lebih baik.
“Jika mampu, sebar luaskan Islam bukan setakat kepada ahli keluarga malah kepada komuniti setempat. Belajar dan dalami Islam sebaiknya, mana tahu selepas ini anda semua boleh menjadi pendakwah,” katanya.
Sementera itu, Mohd Na’im turut memberitahu, ini kali pertama beliau mengislamkan saudara baharu sejak menjawat jawatan Menteri Agama pada Disember tahun lalu.
“Saya sangat terharu apabila berkesempatan membimbing saudara baharu kita pada hari ini selepas kali terakhir melakukannya ketika melanjutkan pengajian ijazah kedoktoran di London sekitar tahun 1992 hingga di Universiti Exeter,” katanya. – MalaysiaGazette