Najib Razak Petronas pelaburan KWSP
Najib Razak

KUALA LUMPUR – Prestasi cemerlang pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di luar negara menyumbang kepada kemampuan membayar dividen tinggi semasa era pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dahulu.

Penganalisis politik, Lim Sian See berkata, pada 2009, pelaburan KWSP di luar negara hanya 2.4 peratus daripada nilai keseluruhan asetnya.

Namun, menurut beliau, ia meningkat secara mendadak kepada 13 peratus pada 2011 dan mencapai 28 peratus pada 2017.

“Langkah itu membantu nilai keseluruhan aset KWSP berkembang daripada RM340 bilion kepada RM840 bilion sepanjang sembilan tahun Najib menjadi Perdana Menteri,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa KWSP meningkatkan pelaburan dalam negara ke tahap 70 peratus, berbanding 64 peratus ketika ini.

Sian See menambah, pelaburan di luar negara meningkat semasa era Najib kerana nilai aset KWSP telah menjadi terlalu besar untuk pasaran domestik.

“Sebagai contoh, pada 2017, nilai aset keseluruhan KWSP iaitu RM840 bilion adalah separuh daripada nilai keseluruhan pasaran modal Malaysia yang berjumlah RM1.7 trilion.

“Maknanya, sekiranya KWSP melaburkan semua asetnya dalam pasaran saham tempatan, ia akan memiliki 50 peratus daripada setiap syarikat yang tersenarai di Malaysia,” jelasnya.

Beliau memberitahu, keputusan kerajaan membenarkan KWSP meningkatkan pelaburan di luar negara terus memberi manfaat kepada rakyat walaupun selepas kerajaan Barisan Nasional (BN) tumbang pada 2018.

Sian See berkata, The Edge pernah melaporkan, tanpa pelaburan di luar negara, dividen KWSP pada 2021 mungkin hanya 3.1 peratus dan sukar mencapai tahap 6.1 peratus seperti yang diumumkan.

“Namun, ada rakyat Malaysia mengkritik Najib apabila beliau memberitahu bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada 2017 bahawa KWSP ingin menambah pelaburan di negara itu,” katanya. – MalaysiaGazette