KUALA LUMPUR – Program Aidilfitri Malaysia MADANI@Dataran Merdeka akan dianjurkan pada 13 Mei ini bermula pukul 10 pagi hingga 12 tengah hari di Dataran Merdeka.

Program itu dianjurkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bersama gabungan masjid dan surau Jumaat serta Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

JAWI dalam kenyataan berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga dijangka akan menghadiri program itu.

“Sebanyak 120 buah masjid dan surau Jumaat akan mengambil bahagian termasuk dari Putrajaya dan Labuan serta beberapa rakan strategik yang lain dengan menyasarkan kehadiran seramai 20,000 pengunjung.

“Melalui penganjuran program ini, kami berhasrat untuk menjalinkan silaturahim dalam skalangan masyarakat di Wilayah Persekutuan serta membentuk semangat kerjasama dan persaudaraan dalam kalangan Jawatankuasa Masjid di Wilayah Persekutuan,” katanya dalam kenyataan.

Tambah JAWI lagi, ia dapat menyantuni masyarakat yang kurang berkemampuan untuk merasai pelbagai juadah makanan atas semangat muhibah dan perpaduan.

Malah dapat mempromosi masjid-masjid di Wilayah Persekutuan sebagai pusat penyatuan ummah serta memperkenalkan keunikan makanan Malaysia kepada pelancong dari dalam dan luar negara.

Penganjuran program kali ketiga itu menyajikan pelbagai juadah dan menu yang akan disediakan oleh 120 gerai untuk dinikmati oleh para pengunjung.

Antara menu utama termasuklah 105 ekor kambing golek, ayam golek, nasi tomato, nasi ayam, lemang dan rendang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast