Chegubard di hadapan IPD Dang Wangi Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Ketua Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shaharin atau dikenali Chegubard mendakwa akan menganjurkan satu perhimpunan besar di ibu negara dengan tujuan untuk ‘menjatuhkan’ Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Chegubard berkata, himpunan besar itu dijangkakan berlangsung pada awal bulan Julai ini.

“Kita sedang turun bertemu banyak badan bukan kerajaan (NGO), parti-parti politik dan sedang mengikat satu persetujuan yang mana bermula 60 hari dari 1 Mei nanti pasti akan ada satu himpunan besar dengan tujuan untuk ‘menjatuhkan’ Anwar sebagai Perdana Menteri.

“Maknanya kita tidak berselindung dalam perkara ini. Anwar cuba untuk jatuhkan bukan seorang tapi banyak PM bertahun-tahun dengan berkali-kali menggunakan duit bantuan luar negara yang mana tak pernah ditangkap kerana cuba jatuhkan kerajaan,” dakwanya lagi ketika ditemui pemberita di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi hari ini.

Sebelum itu, Chegubard bersama empat lagi pengikutnya dari SAMM hadir kerana dipanggil untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan polis berhubung sidang media pelancaran jatuhkan PM Anwar pada 1 Mei lalu di Jalan Tunku Abdul Rahman di sini yang membabitkan gimik pelepasan belon kuning.

Katanya, mereka disiasat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 dan menjelaskan mereka sebenarnya bersimpati dengan polis kerana terpaksa membuang masa demi kehendak Anwar melakukan siasatan ini.

“Lagi pun, ini menunjukkan bahawa rejim campuran Kerajaan Perpaduan jelas membawa Malaysia ke arah era diktator, kenapa? Sebab ini hanya sidang media. Kita cakap diktator terhadap Tun Dr. Mahathir Mohamad pun tak pernah ditangkap orang.

“Maknanya kerajaan pada hari ini dalam keadaan sangat goyah, panik dengan 30 orang pun tak sampai sokong telah berlaku sebegini menyusahkan polis buat siasatan.

“Kami jelas akan beri kerjasama penuh nanti kepada pegawai penyiasat yang sedang menyiasat kes ini,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast