Gambar hiasan

BANGKOK- Perdana Menteri, Prayut Chan-O-Cha dan Kementerian Kesihatan Awam Thailand masih bimbang terhadap kemunculan semula Covid-19 meskipun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan pandemik telah berakhir di seluruh dunia, 5 Mei lalu.

Jurucakap kerajaan Anucha Burapachaisri berkata, beberapa negara masih mengalami penularan Covid-19 dan terus memberi kesan terhadap kumpulan rentan.

Katanya, disebabkan Covid-19 masih belum diisytiharkan sebagai endemik tempatan oleh WHO, orang ramai dinasihatkan kekal berhati-hati, segera mendapatkan dos penggalak vaksin dan mengekalkan imuniti badan yang baik bagi menghalang jangkitan virus berkenaan.

Tambah beliau, penularan Covid-19 bukan jangkitan bermusim seperti selsema.

Sehubungan itu, apabila virus berkenaan bermutasi, penularan baharu boleh berlaku bila-bila masa tanpa mengira musim.

Menurut Anucha, WHO ketika ini tidak mempunyai data mencukupi untuk menentukan sela dan kekerapan sesuai bagi suntikan vaksin serta dos penggalak.

Bagaimanapun, ia terus menyokong vaksinasi terutamanya kepada golongan rentan untuk meningkatkan imuniti badan menghadapi Covid-19.

Katanya lagi, walaupun situasi Covid-19 di Thailand dan dunia telah semakin baik namun kerajaan negara itu tetap berhati-hati terhadap penularan baharu pada masa akan datang.

Ia pastinya memberi kesan buruk kepada orang awam, perniagaan serta ekonomi negara, tambah beliau lagi.- Agensi

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast