PHNOM PENH – Bukan satu tapi dua emas!
Tatkala tumpuan lebih diberikan kepada jaguh 400m wanita negara, Shereen Samson Vallabouy yang menepati ramalan menjuarai acara tersebut, kelibat pelari lelaki berusia 20 tahun, Umar Osman ternyata mencuri tumpuan pada hari kedua olahraga pada Sukan SEA 2023, hari ini.
Bukan sahaja melakar kejutan dengan menggondol emas pada penampilan pertamanya di temasya sukan dwitahunan tersebut, malah pemuda dari Kluang, Johor itu mencatat 46.34 saat (s) pada saingan berlangsung di Stadim Nasional Morodok Techo.
Catatan tersebut sudah cukup baginya memecahkan rekod kebangsaan 400m lelaki hampir 22 tahun oleh Mohd Zaiful Zainal Abidin, 46.41 saat (s) dalam Kejohanan Olahraga Asia Junior di Brunei pada Julai 2001.
Umar yang dilihat ketinggalan sejak awal saingan berjaya melakukan pecutan pada 70m terakhir untuknya melintasi garisan penamat terdahulu meninggalkan dua pesaing terdekatnya dari Filipina iaitu Umajesty Wesley Lachicha Williams (46.52s) dan Frederick Cabatu Ramirez (46.63s), yang masing-masing merangkul perak dan gangsa.
Seorang lagi wakil negara, Abdul Wafiy Roslan sekadar menamatkan larian di kedudukan ketujuh daripada lapan peserta dengan 49.17s.
Dalam pada itu, Shereen merangkul emas pertama acara kegemarannya di Sukan SEA dengan mencatat masa 52.53s sekali gus memecahkan dominasi juara empat kali berturut-turut, iaitu Nguyen Thi Huyen dari Vietnam (53.27s) yang merangkul perak dan gangsa pula milik rakan senegaranya, Nguyen Thi Hang (53.84s).
Bagaimanapun, catatan dilakukan Shereen yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu sedikit tersasar dari rekod kebangsaannya, 51.80s, dilakukan di Kejohanan Olahraga Tahunan Mt SAC Relays ke-63, California, bulan lepas.
Kejayaan dilakar Umar menyaksikannya menamatkan kemarau emas selama 14 tahun yang kali terakhir dimenangi Zafril Zuslaini pada edisi 2009 di Vientiane, Laos.
Shereen pula kembali meletakkan Malaysia di kedudukan tertinggi podium acara 400m wanita di pentas Sukan SEA selepas N. Manimagalay kali terakhir memenanginya pada edisi 1999 di Brunei. – Bernama