Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng hadir ke mahkamah bagi sebutan kes berhubung laporan forensik perbualan di aplikasi WhatsApp antara dua ahli perniagaan dalam perbicaraan kes rasuahnya di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 10 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sekali lagi menafikan beliau atau Kementerian tersebut bertindak membatalkan pengecualian cukai untuk  Yayasan Albukhary sekitar 2018 hingga 2020.

Itu juga merupakan era pemerintahan 22 bulan Pakatan Harapan (PH).

Beliau tidak perlu menjelaskan pertuduhan mengaitkannya dengan pembatalan pengecualian cukai tersebut seperti yang didakwa Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kata Guan Eng yang juga pernah menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang itu, tidak ada sebab mengapa beliau perlu menjelaskan sesuatu yang tidak wujud.

Ini juga merupakan antara jawapan dalam penyataan pembelaan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin dakwaan mengeluarkan tiga kenyataan fitnah berhubung pembatalan pengecualian cukai.

Kata Guan Eng, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri mendedahkan beliau (Guan Eng) tidak pernah tidak membatalkan status pengecualian cukai yang diberikan di bawah Sekayen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 kepada yayasan tersebut.

“Pada 23 Mac lalu, Kementerian Kewangan melalui kenyataan akhbar mengesahkan dan mengulangi bahawa bekas Menteri Kewangan mahu pun pegawainya tidak membatalkan pengecualian cukai yang diberikan kepada yayasan tersebut.

“Ini satu percubaan terdesak untuk mengalih perhatian orang ramai daripada tuduhan jenayah dengan meletakkan kesalahan kepada saya.

“Beliau (Muhyiddin) mempunyai lebih daripada 33 bulan selepas kejatuhan PH pada Februari 2020 untuk mendedahkan salah laku yang didakwa,” katanya.

Kata Guan Eng lagi, kenyataan fitnah oleh Muhyiddin sebenarnya bermaksud mahu beliau menyalahgunakan kedudukan dengan memberi kuasa atau mengarahkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk mengenakan cukai dan penalti ke atas yayasan kebajikan apabila ia tidak patut dikenakan cukai.

Dalam pada itu, Muhyiddin mendakwa yayasan kebajikan itu tidak perlu membuat rayuan berhubung pengecualian cukai kepadanya jika ia tidak dibatalkan oleh Kementerian Kewangan. -MalaysiaGazette