Faiz Fadzil

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MOA) dilihat berjaya memastikan bekalan ayam dan telur mencukupi bagi keperluan rakyat sepanjang tempoh enam bulan pertama pentadbiran kerajaan.

Pengerusi Biro Pertanian dan Keterjaminan Makanan Parti Amanah Negara (Biro), Faiz Fadzil berkata, kementerian yang diterajui menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu itu telah banyak berusaha ke arah keselesaan rakyat.

Kata beliau, ianya tidak akan berjaya tanpa usaha bersepadu bersama warga MOA dan juga beberapa agensi di bawahnya.

“Kita yakin dengan kepimpinan Mohamad dan seluruh jentera kementerian akan berusaha keras untuk mengukuhkan sektor pertanian negara yang terabai dalam dua tahun lepas dan seterusnya membantu menangani kos sara hidup.

“Oleh itu, biro mencadangkan tiga harapan utama untuk dicapai oleh MOA dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pihaknya mencadangkan supaya pelaburan berintensiti tinggi untuk dibawa masuk ke dalam sektor pertanian yang mana kerajaan memerlukan ladang dikendalikan menerusi automasi dan robotik di seluruh negara.

Untuk itu, ujar beliau, kerajaan harus menggalakkan penglibatan syarikat AgriTech dan pelabur antarabangsa melalui pelbagai insentif bagi memudahkan proses menjalankan perniagaan.

“Di samping itu, dengan konsep pertanian dalam bangunan dan vertical farming, kita boleh menghasilkan tanaman di tengah bandar besar seperti Kuala Lumpur untuk memenuhi permintaan tempatan.

“Kedua, biro mencadangkan agar konsep “Satu Zon Hijau, Satu Daerah” diperkenalkan dengan tanah terbiar harus dibangunkan dan ditukar kepada tanah pertanian untuk tanaman yang sesuai.

“Dengan kerjasama pihak swasta, konsep ini bukan sahaja boleh memudahkan penduduk tempatan mendapatkan bekalan makanan terutama sayur-sayuran pada harga berpatutan, malah mewujudkan peluang pekerjaan untuk penduduk setempat,” katanya.

Faiz berkata, pada masa sama, diharapkan kerajaan dapat meluluskan lesen tanah dengan tempoh lebih panjang kepada usahawan agro di seluruh negara.

Ini akan memberikan keyakinan kepada usahawan agro untuk melabur dan mengembangkan operasi mereka.

Ketiga, katanya, biro mencadangkan kementerian memperkenalkan insentif dan bimbingan lebih berstruktur untuk menarik minat anak muda dalam sektor pertanian.

“Berdasarkan data sedia ada, hanya 15 peratus ahli Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) berumur bawah 40 tahun. Kita memerlukan penglibatan anak muda yang lebih baik namun mereka tidak akan berkecimpung dalam bidang ini jika gaji masih rendah dan tidak ada prospek kerjaya yang lebih baik.

“Oleh itu, sektor pertanian memerlukan perubahan struktur berteraskan teknologi pintar yang dapat mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi kepada anak muda.

“Semoga dalam tempoh lima tahun ini, sektor pertanian dalam negara ini akan meningkat dengan lebih baik dalam memastikan pertumbuhan ekonomi negara yang mampan dan keadaan sosioekonomi golongan petani lebih terjaga,” ujarnya.

Keterjaminan makanan, katanya, menjadi satu jihad baharu bagi negara dan biro akan menyokong setiap idea serta menteri dalam menerajui kementerian yang cukup mencabar ini.

Kata beliau, sektor pertanian memerlukan satu reformasi yang utuh supaya menjadi satu sektor ekonomi yang lebih produktif dan inovatif. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast