Imran Khan

NEW DELHI – Bantahan meletus di seluruh Pakistan pada Selasa selepas bekas perdana menteri dan pengerusi Tehreek-e-Insaf (PTI) Pakistan Imran Khan ditahan di Mahkamah Tinggi Islamabad.

Sebaik Imran dibawa oleh pasukan separa tentera dari premis mahkamah, pemimpin PTI itu menggesa protes segera diadakan.

Penunjuk perasaan yang berang telah berhimpun di beberapa bandar termasuk Lahore, Peshawar, Faisalabad, Quetta, Gilgit, Sialkot, Karachi dan Islamabad.

Gambar yang dikongsi di media sosial menunjukkan penunjuk perasaan memasuki Ibu Pejabat Am Tentera (GHQ) di Rawalpindi.

Di Karachi, penunjuk perasaan menyekat jalan Shahrah-e-Faisa yang merupakan laluan utama di bandar itu.

Pada petang Selasa, saluran televisyen ARY melaporkan, pihak berkuasa bercadang untuk mengenakan sekatan ke atas perkhidmatan internet dan telekomunikasi berikutan protes itu.

Naib pengerusi PTI, Shah Mahmood Qureshi, meminta orang ramai supaya bertenang dan menuntut pembebasan Imran secara aman.

Beliau berkata ketua PTI itu ditahan atas tuduhan yang sengaja direka-reka.

Imran menghadapi lebih 100 kes melibatkan jenayah keganasan hingga rasuah.

Bekas bintang kriket itu pernah mengharumkan nama Pakistan dengan memenangi perlawanan akhir Piala Dunia ICC pada 1992 dan beliau masih kekal sebagai ahli politik yang sangat popular.

Protes beliau telah menarik perhatian ramai sejak disingkirkan sebagai perdana menteri menerusi undi tidak percaya di parlimen pada April 2022.

Imran mendakwa penyingkiran itu sebagai sebahagian daripada rancangan untuk menghalang Pakistan daripada melaksanakan dasar luar dan menggagalkan kempen menentang rasuah.

Desakan untuk mengadakan pilihan raya awal di wilayah Khyber Pakhtunkhwa dan Punjab dibantah oleh gabungan pemerintah yang dikenali Gerakan Demokratik Pakistan (PDM).

Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, Imran sering hadir ke mahkamah berhubung kes yang dikenakan ke atasnya.

“Penahanan beliau dilakukan oleh National Accountability Bureau (NAB) kerana menyebabkan kerugian kepada perbendaharaan negara,” kata Menteri Dalam Negeri, Rana Sanaullah.

PTI sentiasa menegaskan bahawa penahanan Imran menyalahi undang-undang.

Penyokong Imran sering melaungkan slogan popular: “Jaan de denge, Khan nahi denge” (Kami akan menyerahkan nyawa kami tetapi tidak akan menyerahkan Khan).

Menurut pemimpin PTI, mengadakan pilihan raya dengan secepat mungkin adalah satu-satunya penyelesaian untuk menamatkan ketidaktentuan politik dan ekonomi di Pakistan.

Bagaimanapun, pemimpin PDM merasakan langkah mengadakan pilihan raya umpama menyerahkan semula kuasa kepada Imran kerana beliau diramal mampu memperoleh kemenangan besar.

— BERNAMA