KUALA LUMPUR – Kesediaan Barisan Nasional (BN) mempertimbangkan permohonan Parti Amanah Negara (Amanah) untuk menggunakan lambangnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri Pantai Timur membuktikan parti itu tidak memahami sentimen pengundi.
Bendahari Pas Pusat, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, BN dan Amanah sudah lupa bahawa lambang BN telah ditolak rakyat dalam banyak pilihan raya dan ia hanya akan mengulangi keputusan yang sama.
“Rakyat perlu menolak BN dan Pakatan Harapan (PH) kerana tidak memahami kehendak rakyat walaupun telah diberikan isyarat yang jelas oleh pengundi-pengundi Pantai Timur.
“Bagaimana mereka dapat menjadi kerajaan negeri yang prihatin jika mereka gagal memahami hasrat rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Sebelum ini, media melaporkan Ketua Amanah Ketereh, Che Ibrahim Mohamed mencadangkan agar kerjasama antara PH dan BN dalam PRN akan datang dapat disepadukan dengan penggunaan satu logo.
Che Ibrahim berkata, pemimpin Kerajaan Perpaduan wajar melihat kemungkinan bertanding menggunakan logo BN untuk meningkatkan peluang dan penerimaan rakyat di Kelantan dan Terengganu.
Menurut Iskandar, penolakan rakyat terhadap BN boleh dilihat dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) apabila kesemua calonnya tewas di kedua-dua negeri tersebut.
“Sebaliknya calon Perikatan Nasional (PN-Pas) memenangi kesemua 14 kerusi Parlimen di Kelantan dan lapan kerusi di Terengganu,” katanya.
Beliau berkata, kewujudan gabungan PH di negeri Pantai Timur juga perlu dipersoalkan jika mereka menggunakan lambang BN pada PRN akan datang.
“Ia akan menjadi satu bukti bahawa PH tidak mendapat sokongan di sana,” katanya. – MalaysiaGazette