kebocoran data UiTM
Mohamed Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin meminta pengurusan Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengambil tindakan bagi memastikan insiden kebocoran data tidak berulang.

Menurut beliau, pengurusan UiTM juga telah diminta untuk mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab menyebabkan kebocoran data itu.

“Itu universitilah yang kena maklumkan, saya tidak boleh beri maklumat terperinci,” katanya kepada pemberita semasa mengadakan lawatan kerja di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), di sini, hari ini.

Semalam, UiTM dilaporkan memohon maaf dan mengambil maklum mengenai dakwaan berlaku kebocoran data melibatkan lebih 11,000 pemohon yang ingin memasuki universiti berkenaan.

Pada masa yang sama, UiTM melalui akaun Twitter rasminya mengesahkan, pautan kepada senarai yang mengandungi sebanyak 11,891 nombor kad pengenalan dan e-mel pemohon itu tidak lagi aktif kerana kemas kini sudah dilakukan.

Sebelum itu, seorang pengguna Twitter mendakwa bahawa UiTM menyiarkan nombor MyKad dan e-mel pemohon terbabit di internet.

Sehubungan itu, Mohamad Khaled berharap lebih banyak universiti mengikut jejak UPNM menawarkan pengajian dalam bidang keselamatan siber.

“Kita hidup dalam zaman yang banyak data, jadi macam-macam kebocoran boleh berlaku,” jelasnya.

Sementara itu, beliau yang juga Naib Presiden UMNO berharap parti yang memasuki usia 77 tahun hari ini akan terus memberi sumbangan kepada masyarakat terutamanya orang Melayu dan kaum-kaum lain.

Mohamed Khaled berkata, UMNO telah melalui tempoh masa yang sangat panjang.

“Kita juga telah melalui proses pemilihan dan kini adalah masa untuk bekerja dan meningkatkan prestasi parti,” katanya. – MalaysiaGazette