Badan peguam Idrus shahrir samad
Shahrir Abdul Samad

KUALA LUMPUR – Veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Abdul Samad menyifatkan tindakan Badan Peguam mengisytiharkan hilang kepercayaan terhadap Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun sebagai sesuatu yang pelik.

Menurut beliau, dalam masa kurang daripada setahun lalu, Presiden Badan Peguam, Karen Cheah mempertahankan kedudukan Idrus selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menggesa beliau digantikan.

“Agaknya Badan Peguam harapkan Peguam Negara mendakwa sesiapa sahaja yang menyerang kehakiman,” katanya dalam hantaran Facebook, malam tadi.

Mesyuarat agung luar biasa (EGM) Badan Peguam semalam meluluskan resolusi yang mengisytiharkan hilang kepercayaan terhadap Idrus kerana didakwa gagal mempertahankan institusi kehakiman daripada serangan pihak tertentu serta gagal menegakkan kedaulatan undang-undang.

Badan Peguam juga kecewa dengan kegagalan Idrus bersuara dan bertindak terhadap serangan dan tuduhan rasuah melibatkan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Badan Peguam turut memberi mandat kepada Majlis Peguam untuk memberi notis kepada Peguam Negara agar memulakan prosiding penghinaan terhadap individu-individu yang bertanggungjawab melakukan serangan tersebut.

Shahrir secara sinis bertanya mengapa Badan Peguam tidak mengisytiharkan hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengekalkan Idrus walaupun sudah tamat tempoh.

Beliau mengingatkan bahawa Idrus dilantik sebagai Peguam Negara ketika era pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin dan dikekalkan oleh pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas itu.

“Itulah, kononnya Peguam Negara telah mengambil jalan tengah. Sampai boleh diterima oleh tiga kerajaan yang berbeza. Hebat kan?

“Sebelah sini tak suka sangat. Sekarang sebelah sana dah buat undi tidak percaya,” jelasnya.

Bagaimanapun, Shahrir berpandangan, Badan Peguam bersikap konsisten dalam mengkritik Azalina dari dulu hingga sekarang.

Dalam EGM tersebut, Badan Peguam turut meluluskan usul menegur tindakan Azalina yang dikatakan menjejaskan kebebasan institusi kehakiman.

Teguran itu dibuat ekoran kenyataan Azalina yang mengesahkan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Mohd Nazlan di Dewan Rakyat pada 14 Februari lalu. – MalaysiaGazette