Para perwakilan tekun mendengar perbahasan pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO 2022 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto HAZROL ZAINAL, 14 JANUARI 2023.

HARI ini genap 77 tahun usia UMNO. Ulang tahun parti itu akan disambut sederhana dengan Presidennya Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dijadual hadir di Surau Ar Rahman, Menara Dato’ Onn menjelang Maghrib ini.

Pertubuhan yang suatu ketika dulu pernah digelar sebagai parti keramat orang Melayu itu kini dilihat dalam mode bertahan. Bertahan sehingga datangnya kesempatan untuk bangkit semula.

Parti itu telah kehilangan pemimpin penting Datuk Seri Najib Tun Razak yang dijatuhkan hukuman penjara selama 12 tahun sejak Ogos tahun lalu. Pengaruh dan kekuatan UMNO seolah-olah terkesan apabila Najib dimasukkan ke dalam penjara.

Najib walaupun tewas pada PRU14 beliau bangkit semula dan mendapat jolokan Bossku.

Tidak dapat dinafikan kemenangan dalam beberapa siri pilihan raya kecil dan dua pilihan raya negeri iaitu di Johor dan Melaka antara lain kerana sokongan terhadap Najib.

Bagamanapun selepas Najib dipenjara UMNO menghadapi kemelesetan sokongan hingga tewas pada Pilihan Raya Umum ke-15 yang berlangsung pada November 2022.

Dalam meniti untuk bangkit semula, parti yang didakwa mempunyai 3 juta ahli itu kini terpaksa berhadapan pula dengan musuh daripada bekas pemimpin parti itu sendiri.

Musuh utama sudah tentu datangnya daripada bekas presiden yang memimpin parti itu selama lebih 22 tahun iaitu Tun Dr. Mahathir Mohammad yang mendakwa UMNO telah mati.

Mahathir berjaya menewaskan UMNO pada pilihan raya umum ke-14 dengan bantuan musuh-musuh UNNO lain dari DAP dan PKR. Mahathir menjadi perdana menteri namun kemudian dijatuhkan.

Pada pilihan raya umum ke-15, Mahathir dan parti pimpinannya Pejuang kalah teruk namun itu tidak menghalang Mahathir daripada terus menjadi musuh nombor satu UMNO.

Tentangan hebat juga datang dari bekas Timbalan Presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Walapun Muhyiddin menjadi sekutu UMNO dalam menjatuhkan Mahathir selepas PRU-14, persahabatan yang tidak jujur kemudiaannya menjarakkan UMNO dan Muhyiddin dan mereka berpecah pada PRU-15.

Selain itu UMNO juga berhadapan dengan tentangan sama ada secara terbuka atau senyap daripada pemimpin dan ahli yang dipecat atau digantung keahliannya.

Ini termasuk Tan Sri Annuar Musa, Tan Sri Noh Omar, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim dan Khairy Jamaluddin, serta berpuluh lain yang dikenakan tindakan selepas PRU15 lalu.

Tidak cukup dengan itu, UMNO juga berhadapan dengan ahli-ahlinya yang kecewa selepas parti itu bergabung dengan Pakatan Harapan.

Ada yang tidak dapat menerima apabila UMNO bekerjasama terutama dengan DAP iaitu parti yang seringkali dimomok sebagai anti-Melayu dan Islam.

Dr. Jamaie Hamil. Foto HAZROL ZAINAL, 26 JANUARI 2022.

Bagi Penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Jamaie Hamil, perkata utama untuk UMNO bangkit semula hanyalah dengan memujuk semula 3 juta ahli parti itu yang merajuk.

“Mereka (UMNO) ini hanya tinggal 26 kerusi Parlimen sudah tentu sangat jauh berbanding dengan 222 kerusi yang ada keseluruhannya. Jadi kalau kita nak bandingkan dengan jumlah kerusi mereka berada dalam keadaan lemah.

“Tetapi sekarang ini boleh dikatakan bahawa apa yang dibuat oleh UMNO mereka kena memujuk kembali ahli-ahli UMNO seramai 3 juta itu. Ini perkara pertama yang mereka lakukan.

“Dengan berjayanya memujuk tiga juta itu kemungkinan UMNO akan kuat semula,” katanya kepada MalaysiaGazette

Jamaie berkata, ancaman kepada UMNO bukan datang dari bekas pemimpin parti itu yang telah dipecat atau digantung. Kumpulan itu hanya akan mendatangkan masalah sekiranya masih menjadi ahli UMNO.

“Ancaman mereka ini tidak memberi kesan yang besar kepada UMNO tetapi dengan syarat UMNO perlu pujuk 3 juta ahlinya itu tadi.

“Pemimpin berapa orang sahajakan? Tetapi ahli ramai. Untuk menjadi parti itu releven dalam pilihan raya adalah dengan cara memujuk ahli parti itu,” kata Jamaie.

Beliau menegaskan pemimpin UMNO mempunyai tanggungjawab untuk memberi penjelasan kepada ahli dalam setiap tindakan yang diambil dalam usaha memujuk mereka untuk kembali semula kepada parti.

Ini katanya, supaya ahli faham segala tindakan yang diambil adalah perkara-perkara yang perlu dilakukan.

Jamaie berkata, ahli parti itu perlu menyedari UMNO yang ada pada waktu ini bukanlah UMNO sebelum 2008 yang kuat di bawah kepimpinan Mahathir.

Jika ahli terus tidak berpuas hati dan pemimpin gagal memberi penjelasan UMNO akan terus melemah pada masa depan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast