Safawi Rasid. Foto Ratchaburi FC.

KUALA LUMPUR – Kelab Indonesia, Persib Bandung dilaporkan berminat untuk mendapatkan khidmat pemain sayap negara, Safawi Rasid yang ketika ini beraksi di Liga 1 Thailand, Ratchaburi FC.

Menurut laporan InilahKoran, Pengarah PT Persib Bandung Bermartabat, Teddy Tjahjono enggan mengulas mengenai khabar angin yang mengatakan kelabnya berminat dengan Safawi Rasid.

Namun dia juga  tidak menafikan khabar tersebut, sekaligus memberikan tanggapan bahawa Persib sememangnya mahu mendapatkan pemain berusia 26 tahun itu.

“Saya tak tahu (mengenai Safawi). Tapi tunggu saja pengumuman dari pihak kelab,” kata Teddy kepada media tempatan itu.

Sebelum ini, peminat bola sepak tanah air berharap agar Safawi dapat beraksi dalam saingan Liga Korea dalam masa terdekat.

Harapan ini muncul selepas Safawi bergambar dengan ejen bekas ketua jurulatih TRW Kelantan, Choi Moon-sik iaitu Myeongho Jeong ketika lawatan ejen itu ke Thailand.

Sebelum ini, pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang dimesra dengan panggilan TMJ mengesahkan beliau masih berhubung dengan Safawi dan merasakan pemain itu tidak begitu selesa di Thailand.

“Safawi ada berhubung dengan saya. Saya rasa dia tak begitu selesa di sana. Kita tengok macam mana kerana yang nak pergi loan bukan saya yang hantar dia. Dia yang nak pergi sendiri.

“Kami hanya memberi kerjasama kepada beliau di mana dia nak dapat lebih banyak permainan dan kami beri itu semua. Buat masa ini masih belum ada kata putus sama ada dia nak balik ataupun tidak.

“Saya tahu dia kurang selesa di sana. Ada ura-ura yang mengatakan Safawi Rasid nak balik sini (JDT). Tetapi tengok dulu. Saya pun belum membuat keputusan,” kata TMJ.

Satu lagi kelab Liga Malaysia iaitu Terengganu juga berminat untuk membawa pulang Safawi bagi memperkuatkan pasukan untuk mengharungi baki saingan musim 2023. – MalaysiaGazette