Jho low
Low Taek Jho

KUALA LUMPUR – Siasatan ke atas ahli perniagaan dalam buruan iaitu Low Taek Jho atau Jho Low dalam kes berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) diteruskan dan ia tidak akan dihentikan sehingga lelaki itu berjaya dibawa pulang ke tanah air, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Beliau berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan bekerjasama dan berbincang dengan lebih lanjut mengenai usaha membawa pulang Jho Low ke negara ini.

“Jho Low pernah dituduh di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA) pada tahun 2018 walaupun dia tidak menghadirkan diri (di mahkamah).

“PDRM memang ada buka kertas siasatan dan sekiranya subjek (Jho Low) dapat dikembalikan ke Malaysia, sudah tentu kami akan meneruskan pertuduhan itu (menuduhnya dengan akta sama),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penganugerahan Kontinjen dan Daerah Terbaik Op Selamat sempena Hari Raya Aidilfitri di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Pada 5 Mei lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan sedang berunding dengan negara-negara berkaitan untuk mempercepatkan proses membawa pulang Jho Low, namun beliau enggan mengesahkan keberadaan ahli perniagaan dalam buruan itu.

Menurut Anwar proses itu juga amat rumit kerana melibatkan negara-negara besar, perkhidmatan risikan dan Polis Antarabangsa (Interpol).

Mengulas mengenai jumlah kertas siasatan dan tangkapan yang dibuat sejak penubuhan pasukan Task Force Siasatan 3R yang memfokuskan kepada isu bangsa, agama dan raja pada 22 Mac lepas, Acryl Sani berkata PDRM telah membuka 19 kertas siasatan dan menahan 12 individu.

“Arahan setiap kes yang dilaporkan kepada PDRM harus mempunyai keterangan-keterangan yang mengaitkan berlakunya kesalahan dan kertas siasatan (3R) mestilah disiapkan dalam tempoh tujuh hari untuk dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara bagi tujuan pertuduhan atau sebaliknya.

“Tindakan ini akan dibuat secara berterusan bagi memastikan keharmonian dan ketenteraman awam negara yang berbilang kaum ini sentiasa terpelihara,” katanya.

Task force 3R diketuai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman yang dikendalikan Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah.- BERNAMA