Reaksi ahli keluarga melepaskan rindu bersama ahli keluarganya yang merupakan penghuni penjara pada Majlis Jalinan Kasih sempena Aidilfitri ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Penjara Wanita Kajang. Selangor. Foto MUHD NA’IM 12 MEI 2023.

KAJANG – Seramai 20 banduan Penjara Wanita di sini berpeluang untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga.

Sebaik wajah 71 ahli keluarga memasuki pintu utama sempena Program Jalinan Kasih Hari Raya Aidilfitri hari ini, jelas kelihatan linangan air mata berjurai di pipi penghuni penjara itu.

Suasana hiba itu berlangsung kira-kira dua jam diiringi esakan dan tangisan pengubat rindu banduanita bersama insan tersayang.

Menurut Jamilah (bukan nama sebenar), 39, perasaannya bercampur baur sedih dan gembira menatap wajah ibu dan anak perempuannya yang turut berkesempatan berkunjung melawatnya.

Penghuni Penjara Wanita Kajang, Jamilah (bukan nama sebenar).

Katanya, dia tidak sabar untuk meninggalkan tembok kurungan setinggi 10 meter itu dan pulang ke pangkuan keluarga di Seremban.

“Sedih sebab raya hari itu keluarga saya tak dapat datang, emak tak sihat. Tapi kali ini pihak penjara bagi peluang dekat saya jumpa mereka.

“Alhamdulillah, saya masuk ke sini masa mengandung dan anak saya sekarang sudah nak masuk tiga tahun, nak balik dah pun. Saya tak sabar nak balik, nak peluk emak saya, nak tebus segala kesalahan, saya takkan ulang balik kesalahan saya,” katanya.

Meskipun berada di sebalik tirai besi, beliau tidak meninggalkan tanggungjawab menjaga anak bongsunya dari empat beradik sejak bayi yang kini sudah berusia tiga tahun.

Jamilah (bukan nama sebenar) bersama anak-anaknya. Berbaju kuning merupakan anak bongsunya yang disara dan dijaga sejak lahir di dalam Penjara Wanita Kajang,

Ketika ditanya kesalahan yang dilakukan, Jamilah dipenjarakan pada 2020 kerana didapati bersalah di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya (ADB) dan dijatuhkan hukuman lima tahun penjara.

Dia dijangka melalui tarikh pembebasan sehabis awal (EPD) pada bulan Oktober depan, dengan hasrat membuka mobile spa selepas bebas.

Sementara itu, penghuni lain bernama Rozilah (bukan nama sebenar), bersyukur sempat disatukan semula bersama keluarganya yang sudah lama tidak ditemui walau hanya untuk beberapa ketika.

Penghuni Penjara Wanita Kajang, Rozilah (bukan nama sebenar).

“Terima kasih kepada puan-puan (warden dan guru penjara) saya kerana beri peluang ini. Saya banyak terima pengajaran, saya pun masih belajar lagi seperti bidang yang saya sendiri memang tak pernah nak buat di luar sana seperti memasak, saya ditugaskan untuk memasak di sini.

“Tak sabar saya nak keluar. Dengan sokongan dari keluarga saya sendiri yang mengalu-alukan pembebasan saya di luar nanti.

“Saya akan berbakti kepada ibu bapa yang sekarang ini kurang sihat, saya akan jaga mereka. Selebihnya, saya buatlah apa yang perlu untuk mendapat kebaikan,” katanya sebak.

Rozilah mencium dahi ibunya sebelum berpisah sekali lagi.

Digelar role model di situ, katanya, dia berpeluang mengikuti program jalinan kasih yang membenarkannya berjumpa dengan keluarga setiap tahun selama lapan tahun dipenjarakan.

Rozilah dipenjara berikutan terlibat dalam kes pecah amanah kira-kira lapan tahun lalu dan dijangka bebas pada April tahun hadapan menerusi EPD.

“10 bulan lagi sahaja nak bebas, pendek sahaja waktu itu tapi saya sudah duduk sini lapan tahun,” katanya lagi.

Pada masa sama, Pengarah Pengurusan Banduan Jabatan Penjara, Komisioner Penjara Ajidin Salleh berkata, lebih 1,000 banduan kesalahan ringan dibebaskan di bawah Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) di seluruh negara sejak Januari 2023 hingga Syawal lalu.

Pengarah Pengurusan Banduan Jabatan Penjara, Komisioner Penjara Ajidin Salleh. Foto MUHD NA’IM 12 MEI 2023.

Katanya, jabatannya telah memantapkan program-program pemulihan di dalam penjara serta mengambil inisiatif baharu iaitu program pemulihan dalam komuniti.

“Pelepasan secara lesen sudah dilaksanakan sejak 2020 dan tahun ini kita mengambil inisiatif seperti perintah kehadiran wajib (PKW) yang diluluskan di Parlimen berkaitan hukuman dibawah tiga tahun boleh diletakkan di bawah PKW. Langkah ini dilihat sebagai jalan mengurangkan kadar banduan di dalam penjara.

“Kita sudah bermesyuarat sejak bulan 3, 4 lagi cuma pelepasan itu secara berperingkat dan bila menjelang perayaan pada 19 April lalu, kita lepaskan secara berkumpulan. Satu outcome yang besar kepada negara.

“Melalui PBLS ini kita telah melepaskan mereka (banduan) melalui satu sistem penilaian yang dibuat di peringkat institusi dan juga di peringkat negeri dan akhirnya satu mesyuarat khas di peringkat ibu pejabat penjara,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya menerima lebih dari 1,000 permohonan PBLS setiap bulan setakat ini.

“Setiap bulan kita menerima permohonan tidak kurang antara 900 hingga 1,000 permohonan untuk banduan PBLS. Lebih 1,000 pelepasan disasarkan setiap bulan dan kali terakhir pada April lalu, lebih 900 kita luluskan daripada 1,033 permohonan yang diterima,” katanya. – MalaysiaGazette