RESOLUSI Badan Peguam pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) Rabu lalu yang mengisytiharkan hilang kepercayaan terhadap Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dilihat sebagai satu perkembangan yang mengejutkan.
Badan Peguam juga seolah-olah ingin ‘memaksa’ Idrus memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap mana-mana pihak yang didakwa menyerang institusi kehakiman termasuk dalam isu konflik kepentingan membabitkan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
Tidak cukup dengan itu, Majlis Peguam ‘diberi mandat’ oleh Badan Peguam untuk mengambil alih peranan tersebut sekiranya Idrus gagal bertindak bagi mempertahankan institusi kehakiman yang dikritik pelbagai pihak ekoran cara kes SRC International Sdn Bhd dikendalikan.
Seperti yang termaktub dalam Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan, Peguam Negara mempunyai kuasa yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya, untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan, selain prosiding di hadapan mahkamah Syariah, mahkamah anak negeri atau mahkamah tentera.
Namun, tidak pula dinyatakan secara jelas dalam Perlembagaan Persekutuan bahawa Majlis Peguam mempunyai kuasa yang sama dengan Peguam Negara.
Selain itu, Perkara 145 (2) Perlembagaan Persekutuan antaranya menyatakan, Peguam Negara mempunyai kewajipan melaksanakan apa-apa tugas lain yang bersifat undang-undang, yang dari semasa ke semasa dirujukkan atau ditugaskan kepadanya oleh Yang di-Pertuan Agong atau Jemaah Menteri.
Jadi, dari mana datangnya punca kuasa yang membenarkan Badan Peguam ‘mengarahkan’ Idrus memulakan prosiding menghina mahkamah atau memberi mandat kepada Majlis Peguam untuk mengambil alih tugas beliau.
Persoalan juga timbul kerana Badan Peguam kelihatan begitu lantang dalam isu membabitkan kes-kes mahkamah yang dihadapi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Sehingga permohonan Najib untuk melaksanakan haknya mendapatkan pengampunan diraja menerima kecaman yang keras daripada Badan Peguam.
Sebaliknya, Badan Peguam hanya berdiam diri apabila bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas mengakui peranannya dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam soal pelantikan hakim-hakim kanan pada 2018 dan 2019 sehingga mengetepikan syor Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC).
Perkara itu bukan lagi rahsia apabila Tommy sendiri yang mendedahkannya dalam bukunya yang bertajuk My Story: Justice in the Wilderness.
Secara logiknya, isu campur tangan dalam pelantikan hakim-hakim kanan adalah jauh lebih besar jika dibandingkan dengan ‘kegagalan’ mendakwa pihak yang mengkritik hakim-hakim tertentu.
Badan Peguam membisu seribu bahasa dalam isu yang membabitkan Tommy namun suara mereka amat lantang dan ‘keras’ terhadap Idrus yang telah melaksanakan tanggungjawabnya seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Boleh dikatakan sikap dwistandard Badan Peguam yang mewakili lebih 20,000 peguam di negara ini memang amat membingungkan.
Zaman Tommy dahulu mereka diam sahaja tetapi bila tiba zaman Idrus, mereka bising pula. – MalaysiaGazette
kadang kadang ada juga rasa nak ketawa dan kekadang rasa nak nangis..apa kah resolusi yg dibuat itu diperingkat TADIKA atau sebagai penghuni hospital Bahagia. kalau dilihat dari sudut lojik mungkin boleh disamakan dgn filem animasi Walt Disney..