KUALA LUMPUR – Penolong jurulatih dan juruanalisis video Kelantan FC, Pol Corpas Cuatrecasas akhirnya mengucapkan selamat tinggal kepada kelab tersebut selepas dua tahun setengah menyumbang bakti di negeri Cik Siti Wan Kembang.
Pol Corpas atau nama Islamnya, Abu Bakar mengumumkan berita itu menerusi sebuah hantaran yang menyentuh perasaan di laman Instragram miliknya.
“Hari ini saya mengucapkan salam perpisahan kepada sebuah kelab, Kelantan FC yang mana penyokong, ‘Gate H’ boys, pemain-pemain dan barisan kejurulatihan telah mencipta kejayaan membanggakan.
“Kita telah melalui dua tahun setengah yang cukup mencabar dan telah banyak saya pelajari sepanjang tempoh itu. Dari hari pertama ketibaan, saya sudah merasakan penerimaan dan penghormatan daripada warga Kota Bharu,” katanya dalam hantaran di laman instagramnya hari ini.
Menurutnya, meninggalkan Kelantan FC yang terkenal dengan jolokan The Red Warriors (TRW) itu bukan suatu keputusan mudah dan beliau sentiasa mendoakan kejayaan kelab tersebut pada masa hadapan.
“Kini, tiba masa untuk kita berpisah. Walaupun ia bukan satu keputusan yang mudah, saya dengan sepenuh kejujuran mengharap dan mendoakan kejayaan buat kelab ini pada masa akan datang.
“Saya ingin menyampaikan penghargaan kepada semua yang telah menjayakan perjalanan ini, terutama kepada keluarga dan pasangan saya serta seluruh barisan kejurulatihan,” katanya.
Bagaimanapun, Abu Bakar tidak menganggap mesej berkenaan sebagai sebuah lambaian selamat tinggal kerana beliau sendiri akan terus menyokong Kelantan FC sekaligus sentiasa mengharapkan yang terbaik buat kelab itu.
“Satu babak telah berakhir tetapi satu babak lagi bakal bermula. Ini bukan salam perpisahan sebaliknya ‘jumpa lagi’. Saya akan sentiasa berada di sini, menyokong kelab ini dan mengharapkan yang terbaik buat mereka,” katanya. – MalaysiaGazette