KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan beliau membuat keputusan untuk meneruskan pentadbiran baharu selepas berjaya membentuk Kerajaan Perpaduan.
Perdana Menteri berkata, tindakan itu dibuat walaupun beliau berpeluang mengambil kerja senang meneruskan pentadbiran dengan ciri keruntuhan yang dilakukan kerajaan sebelum ini.
Bagaimanapun, katanya, beliau tidak ambil jalan mudah itu sebaliknya memilih untuk mengembalikan maruah bangsa dan negara bersama pimpinan baharu dalam Kerajaan Perpaduan.
Namun, katanya, pilihan itu mendapat sindiran daripada pembangkang dengan mendakwa keputusannya sama seperti meninggalkan agama dan bangsa.
“Mereka permainkan saya dengan pilihan itu, kononnya saya telah meninggalkan agama dan bangsa kita. Mereka telah menghukum saya.
“Namun selepas kita mengambil alih kerajaan, rekod mereka yang melalak konon bersih ini rupa-rupanya antara yang paling kotor dalam sejarah.
“Tetapi kerana mereka berkuasa ketika itu, mereka telah mengongkong badan penguatkuasaan sehingga terpadam kekotoran itu,” katanya menyampaikan Amanat Perdana di Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) hari ini.
Anwar berkata, apabila memegang jawatan Perdana Menteri pada akhir November tahun lalu, beliau dengan kerjasama Jemaah Menteri baharu telah membuat ketetapan tegas untuk menghapuskan ‘penyakau’.
“Arahan saya kepada mereka, tanpa mengira siapa, apakah kamu Tun atau Tan Sri atau mantan perdana menteri atau mantan Menteri Kewangan, kalau kamu sakau, kamu berdepan dengan hukuman.
“Mandat ini yang penting bagi kita untuk membawa satu perubahan baharu kerana kalau tatakelola itu baik, kita boleh tumpu untuk buat kerja,” katanya.
Dalam ucapan itu, Anwar hadir ke WTC dengan penuh semangat dan mengimbau sejarah 25 tahun berucap di Dewan Merdeka.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada parti gabungan yang bersama istiqamah, komitmen dan tekad bersamanya berjuang memulihkan negara.
“Kita telah berjaya mewujudkan Kerajaan Perpaduan dan prinsip saya bukan isu Anwar tapi isu komitmen pimpinan yang mempunyai wawasan untuk membela nasib rakyat.
“Alhamdulillah, kita telah berjaya yang pertama itu, sekarang kita mahu perkukuhkan Kerajaan Perpaduan ini tetapi, kalau ada yang masih mengigau, saya nak cabar kepada mereka, bawa usul (cukup jumlah) ke Parlimen dan kita bertempur di Parlimen,” katanya. – MalaysiaGazette
Ada cerita agar BERHATI-HATI
biasanya PENJENAYAH akan cerita kejahatan orang lain untuk MENAMPAKKAN dia macam BAIK.
Nasib baik ZAHID HAMIDI perlukan perlindungan. Semuga ada kesedaran akhirnya.