KUALA LUMPUR – Pertubuhan Amal Tranformasi Malaysia (Arima) mempersoalkan ke mana sebenarnya wang pampasan kepada rakyat Malaysia yang didakwa telah dibayar oleh kerajaan Jepun sehingga mencecah RM207 bilion sekitar 1990-an dulu.
Pampasan itu merupakan wang kepada rakyat yang menjadi buruh paksa landasan maut Siam-Burma semasa Perang Dunia Kedua.
Menurut Naib Presiden Arima, Datuk S. Murugesan, ‘misteri’ pampasan itu tidak pernah diketahui umum sejak sekian lama walaupun telah banyak kali pimpinan politik mempersoalkannya.
“Isu ini bukan sesuatu yang baru saya bawa malah sebelum ini sekitar tahun 2013, ketua pembangkang ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah bertanya tentang ke mana perginya wang pampasan yang cukup nilainya ini?
“Wang yang sepatutnya menjadi milik kepada rakyat Malaysia yang dipaksa menjadi buruh paksa landasan Siam-Burma.
“Setahu kita juga tiada bayaran dibuat kepada mangsa atau waris walaupun umum tahun pampasan telah dibayar sekitar 90-an lagi. Jadi soalan di sini apakah benar Jepun telah membayar kepada Malaysia?
“Jika wang itu telah dibayar kepada Kementerian Kewangan dan tidak diterima jadi mana sebenarnya dana itu telah disalurkan? Soalan ini telah ditanya juga ketika era Datuk Seri Ismail Sabri menjadi perdana menteri namun tidak ada jawapan.
“Kerajaan tidak pernah memberikan satu jawapan jelas kepada umum jadi kita harap Anwar dapat menubuhkan sebuah jawatankuasa siasatan untuk menyiasat isu ini. Jangan biarkan rakyat terus diselubungi rasa tertipu dan tiada sebarang penjelasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dakwa Murugesan lagi, seandainya benar wang pampasan rakyat itu telah diseleweng, ia merupakan skandal terbesar berbanding penyewelengan dana 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) dan kontroversi pembinaan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).
“Nilai penyewelengan jika kita gabung PKFZ dan 1MDB ini, barulah kita dapat nilai RM207 bilion malah lebih. Jadi adakah kita perlu berdiam begitu sahaja? Tutup mata?
“Jepun juga telah membayar pampasan kepada mangsa-mangsa di negara lain tetapi Malaysia pula tidak? Negara lain sudah mendedahkan tentang pampasan ini tetapi mengapa Malaysia terus berselindung?
“Adalah fakta yang tidak boleh disangkal bahawa kerajaan Jepun telah bayar pampasan kepada negara lain atas kekejaman mereka semasa Perang Dunia Kedua, jadi tidak mungkin Malaysia tidak dibayar. Kita amat mengalukan permohonan maaf serta pembayaran pampasan.
“Duit ini adalah untuk rakyat terutamanya yang telah menjadi mangsa dalam insiden ini, macam-macam yang kita boleh lakukan dengan pampasan. Kita sangat berharap Perdana Menteri yang kita sayangi akan lakukan sesuatu, tolonglah,” ujarnya. -MalaysiaGazette