Zambry Abd Kadir

KUALA LUMPUR – Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan yang diadakan hari ini diharapkan menjadi titik kepada usaha mencari persamaan dalam 19 parti yang menyokong Kerajaan Perpaduan.

Menurut Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, semua ahli dan akar umbi di bawah payung kerajaan perlu segera bersatu untuk mengukuhkan kerajaan bukan sibuk menjadi titik perbezaan antara parti.

“Cari titik persamaan dan bukan titik perbezaan, kita tidak akan ke mana jika masih cari titik perbezaan.

“Kolaborasi bukan konfrantasi, masa untuk kita bekerjasama antara semua ini kali pertama semua parti datang ke sini untuk menyampaikan impian kita untuk negara,” katanya dalam Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS,) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, rakyat digesa untuk memberikan ruang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berfungsi sebagai sebuah kerajaan yang kukuh.

peruntukan ahli parlimen sistem pembayaran terbuka
Alexander Nanta Linggi

“Beri peluang kepada kerajaan untuk berfungsi sepenuhnya demi memastikan kesejahteraan negara dan rakyat dapat bergerak seiring di bawah naungan PM,” katanya.

Tambah Alexander Nanta, Kerajaan Perpaduan membawa era baharu kepada rakyat malah Konsep Malaysia Madani merupakan satu platform untuk kembali kepada rakyat.

“Malaysia Madani boleh juga dibaratkan sebagai menekan butang reset. Kenapa kita perlu tekan butang reset itu?

“Ia adalah kerana terlalu banyak perkara salah yang telah kita lakukan sepanjang tahun dan oleh itu kita mesti kembali kepada prinsip asas untuk dapat meneruskan dengan bermakna,” jelas Menteri Kerja Raya itu lagi.

Menteri Kewangan Sarawak, Datuk Seri Masidi Manjun dalam pentas sama juga berkata, kerajaan tidak harus untuk menangguhkan lagi untuk melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Masidi Manjun

Katanya, beliau sudah terlalu lama menunggu perkara itu direalisasikan.

“Cukai yang dikutip dari negeri Sabah, perlu dipulangkan kepada Sabah, kita mahu Sabah maju sama seperti negeri-negeri lain di Malaysia,” katanya.

Tambah beliau, Sabah dan Sarawak masih jauh ketinggalan dalam pembangunan dibandingkan negeri lain di Semenanjung Malaysia.

“Konsep Malaysia Madani penting sebagai kesinambungan Rukun Negara dan rakyat harus menghormati perkara-perkara dalam Perlembagaab termasuk keistimewaan Sabah dan Sarawak,” katanya. – MalaysiaGazette