PULAU PINANG – Seorang pemandu BMW yang terlibat dalam kemalangan dan menyebabkan kematian seorang wanita menegaskan dia tidak berkhayal semasa kejadian berlaku.

Kemalangan itu mencuri perhatian apabila orang ramai menyerang dan menumbuk pemandu BMW itu selepas kemalangan berlaku.

Polis dilaporkan telah menahan enam individu bagi membantu siasatan berhubung kes pergaduhan itu.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pula menunjukkan kereta BMW yang dibawa lelaki itu melanggar sebuah motosikal sehingga mangsa melantun dari kenderaannya dan topi keledarnya juga tertanggal susulan impak langgaran.

Mangsa yang meninggal dunia dilaporkan merupakan seorang wanita Cina berumur 59 tahun yang menjaja air soya.

Kemalangan itu berlaku di Jalan Loh Poh Heng di Tanjung Bungah, Pulau Pinang pada 8 Mei lalu.

Kejadian itu juga menyebabkan lelaki yang membawa kereta BMW menerima kecaman daripada warganet.

Susulan daripadanya, lelaki berumur 28 itu telah mengunjungi Kwong Wah Yit Poh dan menegaskan bahawa dia tidak mengambil arak dan dadah serta tidak menengok telefon semasa kejadian.

Katanya, semasa pulang dari kelas, dia menyedari bahawa terlanggar sesuatu sebelum mendapati seorang wanita sedang terlantar tidak jauh dari keretanya.

“Saya betul-betul tidak nampak motosikal ini semasa kejadian. Jalan di situ sempit dan tidak mungkin boleh memecut.

“Saya meminta maaf kepada keluarga mangsa,” katanya.

Pemandu itu juga menafikan telah mengalihkan kamera dalam kenderaan selepas kemalangan berlaku seperti yang didakwa sesetengah pihak.

“Hakikatnya, kereta saya langsung tidak mempunyai kamera,” katanya.

Tambahnya lagi, bapanya yang tiba di tempat kejadian tidak bersikap angkuh seperti yang didakwa.

“Bapa saya cuma meminta orang ramai bertenang dan menunggu rakaman CCTV didedahkan,” katanya.

Bapa kepada pemandu pula memberitahu rakaman CCTV menunjukkan motosikal yang ditunggang mangsa keluar daripada simpang jalan dan bukan berada di jalan yang sama dengan pemandu BMW sepanjang masa seperti yang difikirkan sesetengah orang.