KUALA LUMPUR – Penyanyi rap, Caprice mengambil sikap terbuka dengan penganjuran konsert Coldplay yang bakal berlangsung November depan selagi kumpulan popular antarabangsa itu menghormati budaya negara ini.
Caprice atau nama penuhnya Ariz Ramli, 34, berpendapat, kehadiran kumpulan yang popular menerusi lagu Fix You itu tidak menjadi isu besar sekiranya mereka tidak menunjukkan sokongan penuh terhadap golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) pada konsert mereka nanti.
“Bagi saya, tiada masalah Coldplay nak buat konsert di Kuala Lumpur selagi mereka menghormati budaya kita. Selagi mereka tidak mengibarkan bendera pelangi (LGBT), insya-Allah selamat,” katanya menerusi sebuah video dalam Instagram hari ini.
Caprice juga berharap acara-acara keagamaan juga diperbanyakkan dengan kerancakan penganjuran konsert di negara ini.
“Kita juga harap acara agama di negara ini dipermudahkan termasuk isu tauliah golongan agamawan. Insya-Allah acara hiburan dan agama berjalan seiring. Tiada masalah pun,” ujarnya.
Sementara itu, Caprice meminta orang ramai melihat semula pihak yang meluluskan konsert-konsert penyanyi antarabangsa sebelum ini apabila dan menyelar kecaman segelintir pihak mengenai kemasukan kumpulan Coldplay yang memang diketahui umum menyokong LGBT.
“Kalau anda kata kerajaan sekarang dan dulu tak berguna, habis itu anda mahu siapa sebagai pemerintah Malaysia? Mahu Ayah Pin (pengasas ajaran sesat, kerajaan langit)?
Sejak beberapa hari lalu, penganjuran konsert Coldplay di Malaysia pada November depan menjadi perdebatan ramai pihak termasuk golongan pendakwah bebas.
Bagi mereka, Coldplay membawa pengaruh negatif terhadap masyarakat negara ini kerana kumpulan itu dikatakan menyokong budaya LGBT. – MalaysiaGazette