PUTRAJAYA – Kerajaan sedia mengambil alih isu mengurus bekalan air di Sabah dan Kelantan sebagai komitmen tinggi untuk mencari jalan menyelesaikan dan menangani masalah air di Kelantan dan Sabah, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim
Perdana Menteri berkata, ia perlu dilaksanakan dengan segara kerana isu itu mengambil panjang yang perlu diselesaikan di mana pelaksanaannya melibatkan Rancangan Malaysia ke 12 (RMK12) di bawah Belanjawan Madani.
Tegas beliau yang juga Menteri Kewangan, kerajaan kini sedang mempersiapkan kajian semula RMK12 itu dengan melakukan beberapa anjakan dalam menangani isu yang masih berlarutan sejak sekian lama.
Katanya, tindakan itu bukan bertujuan untuk meninggalkan atau meremehkan usaha lama tetapi satu komitmen ke arah kecemerlangan untuk memperbaiki kelemahan-kelemahan yang dikenal pasti bagi tujuan penambahbaikan untuk kepentingan rakyat.
“Saya sebut umpamanya bekalan air di Sabah dan Kelantan, ada juga Kedah tapi susah berunding sikit, Kelantan dan Sabah kalau ikut rancangan kita ia akan ambil masa terlalu panjang termasuk dalam RMK12 di bawah Belanjawan Madani.
“Tapi baru-baru ini, saya duduk di Sandakan air campur, air laut dan air masin untuk minum, kan ada masalah dan banyak daerah di Sabah begitu juga.
“Di Kelantan begitu juga, ini bukan soal politik, ini soal dasar kita, saya sudah berunding dengan Ketua Menteri Sabah dan Menteri Besar Kelantan dan persembahkan kepada Tuanku Sultan kata kita kena ambil alih tanggungjawab walaupun belanjanya besar dan tidak ada dalam rancangan kita. Sebab itu saya sebut sukuk ke bon ke, masalah air ini masalah asas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.
Anwar menambah, bagi merealisasikan usaha itu dengan agensi terlibat, beliau akan berbincang dengan Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan dalam usaha melakukan ajakan besar.
Jelas beliau, isu masalah rakyat perlu diutamakan biarpun ia tidak ada dalam rancangan dan terdapat dijalankan secara berperingkat.
“Saya tidak boleh terima hal ini kerana ada hal perlu disegerakan, macam jalan berlubang dan berlopak kita peruntukan RM1 bilion lebih tahun ini untuk penuhi keperluan asas namun masih tidak cukup,.
“Penjawat awam perlu berganjak sikit kepada penggubalan dasar biasa, saya sebut contoh bagaimana kalau lihat ini untuk menyatuni rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette