KUALA LUMPUR – Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA) menggesa kerajaan memberi penjelasan di sebalik tindakan menarik rayuan terhadap keputusan mahkamah berhubung kes melibatkan penggunakan kalimah Allah oleh bukan Islam.

Pengerusinya, Lukman Sheriff Alias dan Pengerusi Bersama, Prof Dr Rafidah Hanim Mokhtar berkata, tindakan itu amat mengejutkan dan mengecewakan kerana rayuan ditarik balik tanpa sebarang penjelasan.

Menurut mereka, MACSA kesal dengan tindakan kerajaan yang didakwa dilakukan tanpa kebertanggungjawapan dan justifikasi itu.

“Rakyat mempunyai asas yang kukuh dalam menuntut ketelusan dan kebertanggungjawapan terhadap tindakan menarik balik mana-mana kes yang melibatkan kepentingan awam dan moral.

“MACSA mengecam tindakan menarik balik kes tersebut yang dilakukan secara senyap-senyap tanpa sebarang penjelasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Media hari ini melaporkan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan Malaysia menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.

Keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat pada 10 Mac 2021 selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill yang memohon perisytiharan mengenai hak perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama berkenaan.

Notis pemberhentian rayuan semakan kehakiman itu difailkan Pejabat Peguam Negara di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya, 18 April lalu.

Lukman Sheriff dan Rafidah Hanim menambah, keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu kelihatan bercanggah dengan keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum itu berhubung penggunaan kalimah Allah dalam kes Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur.

Mereka memberitahu, isu kalimah Allah yang melibatkan kepentingan awam adalah sangat sensitif bagi rakyat sama ada yang beragama Islam atau penganut agama Iain.

“Memandangkan prosiding undang-undang telah dimulakan oleh Jill Ireland, saluran perundangan perlu digunakan sepenuhnya untuk menyelesaikan isu tersebut.

“Rakyat telah dimaklumkan selepas keputusan mahkamah tinggi itu bahawa kerajaan akan merayu dan mempertahankan pendiriannya selagi ada ruang untuk berbuat demikian di bawah proses perundangan,” jelas mereka. – MalaysiaGazette