KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (Mara) menjalinkan kerjasama dengan Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) dalam meningkatkan pembangunan inovasi negara.
Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, usaha berkenaan menjadi platform penting untuk mengenal pasti program serta projek yang berpotensi tinggi dilaksanakan.
“Kerjasama strategi hari ini dapat membantu komuniti Mara membangunkan produk berkualiti dengan kemudahan kewangan yang disediakan.
“Dengan dana geran tempatan yang turut disediakan, ia bakal menambah nilai komersial produk yang direka dan ini ruang untuk inovator melebarkan sayap menceburi bidang keusahawanan,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut, di sini, hari ini.
Menurut Asyraf, jalinan itu menjadi titik permulaan untuk produk inovasi yang bermutu dapat dikomersial ke peringkat antarabangsa.
Katanya, banyak ciptaan inovasi hasil dari institusi pendidikan Mara berjaya mendapat tempat pertama dalam pertandingan antarabangsa, namun ia tidak membuahkan sebarang keuntungan jika tidak dikomersial dengan baik.
Sebagai rekod, Mara telah melaksanakan pelbagai program pembudayaan inovasi kepada pelajar serta warga kerja Mara dengan lebih 1,000 inovator terhasil sejak 2012.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YIM, Dr. Sharma Mohamed Salleh berkata, mereka menyasarkan tiga objektif utama tercapai hasil MoU hari ini.
Ia merangkumi pembudayaan inovasi dalam ekosistem pendidikan Mara, pembangunan perintis inovasi dengan tawaran geran tempatan serta meningkatkan inovator Mara.
“Komuniti Mara dilihat dapat menyumbang kepada agenda mempromosi Inisiatif Inovasi Sosial (MyIS) agar lebih ramai penyertaan quadruple helix sebagai ejen inovasi sosial,” katanya.
YIM yang ditubuhkan pada 2008 merupakan agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam membangunkan minda inovatif masyarakat untuk mengubah idea menjadi realiti. – MalaysiaGazette