ALOR GAJAH – Kerajaan negeri bercadang untuk mencatu bekalan air sekiranya paras air di tiga empangan utama negeri ini merosot ke paras 70 peratus sebagai persediaan menghadapi musim kemarau September ini.
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer bagaimanapun berkata, ketika ini bekalan air di tiga empangan berkenaan iaitu Jus, Asahan dan Durian Tunggal berada pada tahap 100 peratus.
Malah katanya, jika bekalan disalurkan seperti biasa, ia mampu bertahan sehingga September manakala jika dicatu, bekalan itu mencukupi sehingga November jika berlaku kemarau berterusan.
“Setakat ini kita tiada cadangan buat catuan air tapi saya dan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) akan cadangkan, jika bekalan air di empangan berkurang ke paras 70 peratus kita akan terus buat catuan.
“Bila dah kurang 70 peratus kita akan buat langkah awal sedut air dari Tasik Ayer Keroh salurkan ke Sungai Melaka sebagai sokongan, dan juga air di Tasik biru 1,2,3 di Chincin, Jasin.
“Tak perlu lagi kita tunggu paras air di empangan turun pada paras 40 peratus baru nak catu macam dulu pada 2019 kita dah tiada masa jika berlaku kemarau berpanjangan,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Limau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Ayer Limau di kediamannya di Kampung Jeram, di sini malam tadi.
Mengulas lanjut Hameed berkata, cadangan catuan itu bagaimanapun hanya akan melibatkan kawasan kediaman sama ada dilakukan secara berkala mengikut zon atau secara selang sehari namun tidak melibatkan kawasan perindustrian.
“Ini kita sedang kaji sama ada catuan di kawasan kediaman ini dibekalkan mengikut zon atau selang sehari namun bagi kawasan perindustrian bekalan akan diteruskan seperti biasa.
“Kita tidak mahu jika catuan dibuat di kawasan industri, timbul pula masalah lain pekerja tak boleh kerja sampai sektor itu terpaksa tangguh operasi yang mana akan memberi kesan besar pada ekonomi,” katanya. – MalaysiaGazette.