Rafi Awang Kechik

KUALA LUMPUR – “Saya ni, makan tidak, minum pun tidak, tiba-tiba terkena getah orang lain,” demikian akui seorang blogger politik yang dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membantu siasatan kes satu projek di sebuah kementerian.

Mohd Rafi Awang Kechik memberitahu, beliau dipanggil oleh SPRM kerana ada laporan daripada pihak tertentu mendakwa beliau menerima rasuah berjumlah RM1.325 juta daripada syarikat terbabit.

“Saya berada di SPRM selama dua hari dan telahpun selesai memberi keterangan kepada pegawai penyiasat kelmarin.

“Untuk peringkat awal ini saya ucapkan terima kasih kepada SPRM dan pasukan peguam saya serta doa rakan serta keluarga.

“Saya harus perbetulkan beberapa laporan ekoran saya dipanggil untuk membantu siasatan berkaitan satu projek pada tahun 2020,” katanya kepada MalaysiaGazette, di sini, hari ini.

Jumaat lalu, media melaporkan Mohd Rafi ditahan reman selama dua hari bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan rasuah projek bernilai kira-kira RM41 juta di sebuah kementerian.

Pemilik televisyen atas talian NRChannelTV itu turut mengingatkan rakan media agar tidak terlalu ghairah menyiarkan berita mengenai penahanannya kerana laporan itu jauh terpesong daripada apa yang berlaku kepada beliau.

“Saya cuma nak perbetulkan laporan kononnya saya dituduh menerima rasuah sebagaimana tercatat dalam kertas yang ditunjukkan kepada saya sebanyak RM1.325 juta.

“Saya telah berikan keterangan sepenuhnya dan berharap penjelasan serta keterangan itu diterima pakai oleh SPRM,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Rafi berkata, syarikat terbabit mendakwa telah memberikan kepadanya wang sebanyak itu sebagai tanda terima kasih kerana membantu mendapatkan tender tersebut untuk mereka.

“RM1.325 juta, banyak tu. Kaya saya,” katanya berseloroh.

Katanya, beliau tidak boleh mengulas lanjut kerana tidak mahu mengganggu siasatan.

“Cuma saya nak jelaskan kepada rakan media, tolong jangan siar laporan salah kerana saya telahpun beri arahan kepada peguam saya, kalau laporan terpesong dari kes sebenar, saya akan bawa ke mahkamah,” ujarnya.

Mengakui kejadian paling sukar dalam hidupnya, beliau reda dan menerimanya sebagai ujian.

Sekurang-kurangnya, tegas beliau, keterangan yang diberikan itu telah mendedahkan syarikat terbabit.

Beliau juga tidak mahu membuat andaian dikhianati oleh mereka yang iri hati dengannya.

“Ada orang tertentu yang saya sangka kawan telah mengkhianati saya. Tak mengapa. Dengan kes ini, sekurang kurangnya dapat membersihkan diri saya,” ujarnya. – MalaysiaGazette