Jemaah umrah mengaminkan bacaan doa sebelum daftar masuk bagi menaiki pesawat untuk berangkat ke tanah suci menerusi Trip Pemulihan Operasi Umrah dibawah kendalian Emraz Travel & Tours Sdn Bhd (Emraz) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. Foto AFFAN FAUZI, 15 MEI 2023.

SEPANG – Kementerian Pelancongan dan Seni Budaya (MOTAC) digesa lebih peka terhadap nasib jemaah umrah yang terkandas susulan pemasalahan dihadapi oleh agensi umrah dan pelancongan di negara ini.

Ketua Pegawai Khas Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Harik Fauzi berkata, kebanyakan jemaah bukan daripada golongan berkemampuan bahkan ada yang sanggup menggadai harta untuk ke Tanah Suci.

Pegawai Khas Ketua Aktivis PPIM, Harik Fauzi. Foto AFFAN FAUZI, 15 MEI 2023.

Katanya, langkah itu bagi mengelak berlaku penggantungan terhadap nasib mangsa dalam mendapatkan tuntutan mereka sekiranya sesebuah syarikat agensi itu tutup atau muflis.

“Saya sendiri tidak nampak benda ini satu penipuan atau macam mana tapi yang saya nampak masalah daripada segi pengurusan sahaja dan isu-isu berkaitan dengan industri pelancongan.

“Susulan itu, saya meminta pihak MOTAC lebih peka dengan situasi yang berlaku, jangan hanya nampak keburukan itu berlaku pada agensi umrah dan pelancongan tapi sebaliknya memikirkan juga nasib mangsa.

“Apakah nasib bakal jemaah ini yang sudah mengeluarkan duit dan menggadaikan harta mereka? Jadi perlu lihat semula supaya tiada penggantungan atau penganiayaan yang berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghantar 37 bakal jemaah umrah kendalian Emraz Travel & Tours Sdn Bhd (Emraz) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Tambah Harik, PPIM meminta agar MOTAC dapat mempertimbangkan semula tindakan undang-undang terhadap mana-mana agensi umrah dan pelancongan susulan krisis yang berlaku dalam industri pelancongan.

Sebelum ini, MalaysiaGazette melaporkan seramai 70 bakal jemaah umrah kendalian Emraz Travel & Tours Sdn Bhd (Emraz) menuntut kembali wang dianggarkan berjumlah RM1.8 juta serta passport selepas agensi berkenaan gagal membawa mereka menunaikan ibadah itu seperti dijanjikan.

Susulan itu, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan menggesa pihak berkuasa seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), MOTAC, Polis Diraja Malaysia (PDRM) segera  menangani isu berkenaan dengan sebaik mungkin.

Siti Salleha Adnan . Foto AFFAN FAUZI, 15 MEI 2023.

Sementara itu, bakal jemaah yang terkandas sebelum ini ditemui gembira atas keprihatinan PPIM dan pihak terlibat susulan isu kegagalan yang dilakukan Emraz sebelum ini.

Menurut Siti Salleha Adnan, 33, yang sepatutnya menunaikan umrah pada 4 Mac lalu berasa syukur akhirnya ke Tanah Suci walaupun hasratnya sebelum ini tidak berkesampaian menunaikan umrah lebih awal.

“Saya dalam kumpulan gelombang pertama yang minta tuntutan tunai umrah ini sehinggalah diajukan kepada PPIM, sementara tunggu refund saya ini tiba-tiba mereka telefon tanya nak pergi tak ikut trip khas ini.

“Kita terus tanyalah ada tiket ke, hotel ke? Saya tak mahu letak harapan tinggi macam sebelum ini. Mulanya tidak percaya dan risau pun ada tapi alhamdulilah semuanya berjalan lancar walaupun saat akhir.

“Apa yang saya harap, Emraz selesaikan isu ini dengan segera. Mana pelanggan yang nak refund, lunaskan segera sebab mungkin ada yang nak pergi dengan agensi lain. Jadi nak dapatkan kepercayaan bukan mudah dan saya harap dengan trip ini dapat mengembalikan keyakinan bakal jemaah yang lain,” ujarnya.

Khaled Mamat  Foto AFFAN FAUZI, 15 MEI 2023.

Manakala Khaled Mamat, 67, dari Kuala Terengganu teruja walaupun tertangguh dua hari namun akhirnya dia bersama lima orang keluarga dapat menunaikan umrah di akhir bulan Syawal.

“Pada asalnya tertangguh sebab kos tunaikan umrah tinggi, sepatutnya penerbangan 13 Mei tapi tertangguh dua hari. Kita tiada masalah dan tunggu sahajalah akhirnya hari ini dapat pergi.

“Kalau tanya perasaan mestilah terganggu sebab pertama kali nak ke rumah Allah tapi kita sabar. Mungkin seruan belum sampai, Allah tak panggil lagi. Jika kita sabar, insya-Allah berjaya pergi ke sana,” katanya sebak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast