Mohd Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Politik hari ini tidak lagi boleh rigid (tegar) selamanya dan perlu lebih dinamik, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

Puad berkata, kata putus daripada Perhimpunan Agung UMNO (PAU2021) bahawa pendekatan ‘No Anwar, No DAP’ sudah tidak lagi relevan bagi parti tunjang kaum Melayu itu.

“Mesti ada adjustment (pelarasan). Ada keperluan untuk bekerjasama apabila kerajaan tidak boleh ditubuhkan. Pada UMNO, ‘No DAP No Anwar’ tidak lagi relevan. Kita perlu mencari kawan. Kawan terbaik ialah rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Puad merujuk kepada ungkapan ‘Dulu lawan, sekarang kawan’ yang diungkapkan beberapa pemimpin parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan pada Konvensyen Nasional di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, semalam.

Antaranya Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang mengungkapkan frasa ‘Dulu lawan, sekarang kawan’ yang disampaikan dalam bentuk pantun.

“Ungkapan Wee Ka Siong menjadi popular di Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan hari ini (semalam).

“Dulu lawan sekarang kawan. Dulu kawan sekarang lawan”.

“Saifuddin Nasution minta penyokong PH melakukan adjustment kepada war cry mereka sebelum ini, ‘Lawan tetap lawan’,” jelas Puad .

Selepas Ka Siong, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, partinya yang terkenal dengan slogan ‘Lawan tetap lawan’ mengakui pihaknya kini perlu menukar tema slogannya kepada ‘Dulu lawan, kini kawan’ bagi menyemarakkan lagi semangat kesamaan dalam kalangan parti politik yang menganggotai Kerajaan Perpaduan.

“Kami dalam reformasi ada juga slogan kita. Lawan tetap lawan…saya pun bimbang juga tu. Jadi kena ubah suai sikitlah. Sekarang (jadi) ‘Dulu lawan, sekarang kawan’. Kena tambah yang itu sahaja..,” katanya semalam.

Meneruskan mood perpaduan di antara parti politik, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke ketika mengakhiri ucaptamanya dengan membalas pantun yang dijual oleh Ka Siong:

Dulu lawan kini kawan,

Lawan sampai jadi kawan,

Tak kira kawan ataupun lawan,

Yang penting Malaysia aman.

Malah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga tidak ketinggalan untuk bermain madah menerusi pantun ketika sesi ucapan pimpinan utama, bertemakan hasrat kerajaan yang bertekad untuk menegakkan teras Malaysia Madani:

Kemajmukan sama-sama kita tekuni,

Agenda rakyat kita dahului,

Pelbagai bangsa kita santuni,

Demi keutamaan Malaysia Madani

Tema permainan kata disampaikan yang rata-ratanya menyeru ke arah kebersamaan disahut dengan sorakan dan tepukan gemuruh seakan-akan tanda penerimaan menyeluruh para perwakilan pada peringkat akar umbi terhadap semangat kemuafakatan yang dibawa oleh pimpinan pusat.

PAU2021 memutuskan untuk menolak sebarang kerjasama dengan PKR, DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bagaimanapun, selepas PRU15 mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memutuskan untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan.

Dalam kenyataan pada 24 November tahun lalu, UMNO berkata, pihaknya memilih kerajaan yang bukan diterajui Perikatan Nasional (PN). – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Pokcik Puad kata UMNO parti TUNJANG MELAYU???? dulu-dulu kot dorang terbawa-bawa hingga sekarang.
    macam NODAP NOANWAR & dulu lawan sekarang tukar jadi kawan… pun dah nyata.
    UMNO pun perlu tukar… PARTI SERABUT MELAYU.
    ok Pokcik Puad.. akarumbi faham dah
    goodbye Zahid Hamidi

Comments are closed.