KUALA LUMPUR – Pasaran harta tanah tahun ini dijangka kekal optimistik yang berhati-hati susulan peningkatan Kadar Dasar Semalaman (OPR) secara beransur-ansur sejak Mei 2022.
Peningkatan OPR itu dijangka memberi kesan kepada aktiviti pasaran harta tanah, khususnya dari segi permintaan kediaman.
Di samping itu, prospek tenaga kerja di sektor pembinaan dan kenaikan harga bahan binaan akan turut memberi kesan kepada penawaran, menurut Jabatan Penilaian & Perkhidmatan Harta Kementerian Kewangan.
Menurutnya, perkembangan ekonomi dan kewangan negara merupakan faktor dalaman yang juga akan memberi kesan kepada sektor harta tanah dan sentimen penggiat industri di samping faktorluaran seperti situasi kewangan dan ekonomi global.
Melihat kepada ekonomi negara yang diunjurkan berkembang sebanyak 4.0% hingga 5.0% pada tahun 2023 disokong oleh
prospek pertumbuhan dalam negeri yang terus berdaya tahan, pasaran harta tanah dijangka kekal optimistik dengan berhati-hati pada tahun 2023.
Jabatan Penilaian & Perkhidmatan Harta Kementerian Kewangan menambah, aktiviti pasaran harta tanah merekodkan penurunan sebanyak 5.7 peratus pada suku pertama (S1) 2023 dengan lebih daripada 89,000 transaksi bernilai RM42.31 bilion direkodkan sepanjang tempoh itu.
Namun, bilangan transaksi yang direkodkan pada S1 2023 adalah lebih tinggi berbanding tahun-tahun pra pandemik.
Penurunan aktiviti di subsektor harta tanah kediaman dan pertanian masing-masing pada kadar 6.6% dan 12.5% berbanding tahun lalu memberi kesan ke atas prestasi pasaran harta tanah keseluruhan.
Penurunan ini diimbangi oleh peningkatan aktiviti di subsektor perdagangan dan tanah pembangunan, masing-masing meningkat 14.5% dan 2.8% di
dalam bilangan serta 22.1% dan 30.4% di dalam nilai.
Subsektor kediaman terus menyokong keseluruhan aktiviti pasaran harta tanah dengan syer 60.5%, merekodkan hampir 54,000 transaksi bernilai RM20.87 bilion.
Faktor bermusim dalam pembelian rumah yang lazimnya rendah semasa awal
tahun, kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) serta Indeks Sentimen Pengguna (CSI) yang menurun (S1 2023: 99.2 mata; S1 2022: 108.9 mata) adalah antara faktor yang menyumbang kepada penurunan aktiviti pasaran kediaman khususnya.
Kediaman dalam lingkungan harga RM300,000 dan ke bawah merekodkan 29,560 (54.8%) bilangan transaksi, diikuti RM300,001 hingga RM500,000 sebanyak 13,325 (24.7%) dan 500,001 dan ke atas sebanyak 11,038 (20.5%) transaksi.
Menurutnya, pelancaran kediaman baharu menunjukkan sentimen berhati-hati dalam kalangan pemaju.
Penurunan pelancaran baharu ini seiring dengan kejatuhan jumlah lesen pemaju, permit dan iklan jualan perumahan baharu serta pembaharuan yang diluluskan oleh Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan daripada 5,641 lesen (Januari dan Februari 2022) kepada 2,911 lesen (Januari dan Februari 2023).
Johor mencatat jumlah pelancaran baharu tertinggi negara sebanyak 2,077 unit iaitu kira-kira 45% daripada jumlah seluruh negara, dengan prestasi jualan 24.9% manakala Selangor menawarkan jumlah kedua tertinggi (791 unit, 17.0% syer) dengan prestasi jualan pada 37.0%.
Pelancaran baharu berharga RM300,000 dan ke bawah berjumlah 1,193 unit (25.6%) mencatat prestasi jualan 20.2% (242 unit) manakala RM500,000 dan ke atas berjumlah 1,986 unit (42.6%) merekodkan prestasi jualan lebih baik iaitu hampir 54.0%.
Manakala bilangan kediaman siap dibina tidak terjual menurun kepada 26,872 unit bernilai RM18.31 bilion pada S1 2023, kesan daripada serapan pasaran di kesemua negeri kecuali Selangor.
Bilangan dan nilai kediaman siap dibina tidak terjual menurun masing-masing sebanyak 3.2% dan 0.5% berbanding S4 2022.
Selangor merekodkan jumlah tidak terjual tertinggi dalam negara dengan 4,995 unit bernilai RM4.47 bilion, iaitu 18.6% dari segi bilangan dan 24.5% dari segi nilai seluruh negara, diikuti oleh Johor (4,759 unit bernilai RM3.94 bilion), Kuala Lumpur (3,423 unit bernilai RM3.13 bilion) dan Pulau Pinang (3,138 unit bernilai RM2.48 bilion).
Segmen pangsapuri khidmat juga menyaksikan penurunan marginal bilangan dan nilai siap dibina tidak terjual sebanyak 3.0% setiap satu kepada 23,267 unit bernilai RM19.59 bilion.
Negeri Johor merekodkan bilangan tertinggi dalam negara dengan syer 58.6% (13,638 unit) dari segi bilangan dan 60.2% (RM11.80 bilion) dari segi nilai.
Bilangan unit kediaman siap dibina, mula dibina dan baru dirancang masing-masing menurun 25.4% (9,911 unit), 14.5% (19,861 unit) dan 22.6% (12,989 unit) pada S1 tahun ini berbanding suku pertama tahun lalu.
Sektor pangsapuri khidmat juga menyaksikan trend aktiviti pembinaan yang sama dengan bilangan siap dibina, mula dibina dan baru dirancang masing-masing menurun 60.3% (3,218 unit), 51.8% (1,716 unit) dan 58.8% (1,645 unit), satu yang positif bagi mengimbangi penawaran yang masih belum terjual di pasaran.
Indeks Harga Rumah Malaysia (IHRM) berada di 210.1 mata (RM453,365 seunit) pada S1 2023 dengan pertumbuhan tahunan marginal 2.0%.
Pertumbuhan yang direkodkan di kesemua negeri kecuali Sarawak, antara 0.4% hingga 5.8%, telah menstabilkan indeks harga rumah keseluruhan.
Pertumbuhan tahunan ini hampir menyamai pertumbuhan pra pandemik.
Dalam pada itu, Indeks Harga Unit Bertingkat Tinggi merekodkan pertumbuhan tahunan 5.3%, disokong oleh kenaikan dua angka di kawasan Petaling (Selangor) dan Bahagian Pulau (Pulau Pinang). Indeks Harga Rumah Teres mencatatkan pertumbuhan 2.3% manakala Indeks Harga Rumah Sesebuah dan Indeks Harga Rumah Berkembar mencatatkan penurunan kecil masing-masing pada 2.2% dan 0.2%. – MalaysiaGazette