Rafizi Ramli

KUANTAN – Kementerian Ekonomi akan menjadikan isu penambahbaikan perkhidmatan air di seluruh negara sebagai fokus utama bagi baki dua tahun terakhir Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK 12).

Menterinya, Mohd Rafizi Ramli berkata, perkara itu akan dijadikan teras utama bagi RMK 13 agar ia dapat diselesaikan sekurang-kurangnya pada kadar 50 peratus menjelang akhir 2030.

“Sebab saya tak rasa ia (perkhidmatan air) dapat diselesaikan dalam masa setahun dua, ia mungkin akan mengambil masa melebihi lima tahun.

“Bagaimanapun, kerajaan mahu perkhidmatan air di seluruh negara ditambah baik dalam tempoh dua ke tiga tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Sesi Libat Urus Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke 12 (RMK 12) 2021-2023 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Rafizi memberitahu, kementeriannya telah pun mengadakan perbincangan dengan semua syarikat air di seluruh negara untuk mencari penyelesaian isu tersebut dan akan bekerjasama dengan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC).

“Kementerian kami sudah berjumpa dengan operator air termasuk Pahang minggu lalu. Penyelesaian secara menyeluruh perlu dibuat berkaitan masalah bekalan air kerana timbul masalah fasiliti dan isu lain seperti paip lama dan sebagainya.

“Saya rasa berpadanan jika kita melihat isu perkhidmatan air di seluruh negara diselesaikan sekurang-kurangnya pada kadar 50 peratus menjelang akhir RMK13 iaitu tahun hujung 2030,” ulasnya.

Dalam pada itu, Rafizi berkata, selepas melalui beberapa proses, Kementerian Ekonomi dan NRECC akan membentangkan modul-modul yang boleh diambil kira bersesuaian dengan kemampuan kewangan di peringkat Kerajaan Persekutuan mahupun negeri bagi menyelesaikan masalah air berkenaan.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sedang menyiapkan kajian semula separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang akan menumpukan kepada kemudahan dan keperluan asas seperti bekalan air. – MalaysiaGazette