GEORGE TOWN – Mana-mana pihak yang menggunakan kalimah Allah sebagai nama tuhan selain Islam maka ia dianggap menghina kesucian agama Islam.
Demikian jelas Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor ketika diminta mengulas isu rayuan terhadap keputusan mahkamah yang membenarkan seorang wanita Kristian Sarawak Jill Ireland menggunakan kalimah Allah kononnya ditarik balik.
Menurut Wan Salim, kebebasan beragama untuk penganut agama lain bersyarat tidak melangkaui had sempadan agama Islam di negara ini.
“Kita ingin menegaskan semula bahawa isu ini adalah amat berkait rapat dengan kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan sebagaimana termaktub dengan jelas di dalam Perlembagaan Malaysia.
“Jadi tidak wajar isu yang sensitif ini disentuh oleh mana-mana pihak dengan apa alasan sekali pun demi memelihara suasana harmoni dalam hubungan antara sesama warganegara yang terdiri dari pelbagai kaum yang berbeza agama, keturunan dan budaya.
“Malah mengikut laporan media, peguam kanan Persekutuan berpandangan bahawa Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah terkhilaf dalam keputusan yang dibuatnya pada 10 Mac 2021 yang membenarkan kalimah Allah digunakan agama selain Islam,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
Tambah Wan Salim, isu kalimah Allah berkait dengan undang-undang, justeru lebih baik diserahkan kepada para ahlinya mencari penyelesaian yang adil bagi semua pihak terbabit.
“Selain itu, ia juga perlu juga dirujuk kepada Majlis Raja-raja memandangkan Duli-duli Tuanku adalah ketua agama Islam di negeri masing-masing manakala Duli Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Agong adalah Ketua Agama Islam di negeri-negeri yang tiada raja atau sultan.
“Bagi Pulau Pinang, Jawatankuasa Fatwa Negeri dalam mesyuarat pada 5 Mei 2008 telah memutuskan bahawa kalimah Allah hendaklah hanya digunakan secara eksklusif untuk agama Islam dan umat Islam sahaja,” jelas beliau.
Media tempatan semalam melaporkan, kerajaan menarik balik rayuan terhadap keputusan mahkamah yang membenarkan seorang wanita Kristian Sarawak Jill Ireland menggunakan kalimah Allah.
Notis tidak meneruskan kes itu difailkan di Mahkamah Rayuan pada 18 April lepas. – MalaysiaGazette