Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim ketika hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 28 NOVEMBER 2019
Hassan Abdul Karim

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim mempersoalkan sama ada Kementeri Dalam Negeri (KDN) telah berunding dengan Majlis Raja-Raja Melayu sebelum menarik rayuan kes kalimah Allah.

Ahli Parlimen PKR itu turut menuntut penjelasan Menteri Dalam Negeri sama ada keputusan tersebut dibuat selepas mendapat persetujuan istana atau tidak.

“Tidakkah peruntukan Undang-undang Perlembagaan Persekutuan berkenaan kedudukan agama Islam terletak dalam bidang kuasa Majlis Raja-Raja Melayu?

“Adakah Majlis Raja-Raja Melayu telah dirundingi dan persetujuan Raja-Raja telah diperolehi sebelum rayuan ditarik balik?

“Jawapan dan penjelasan dari Menteri Dalam Negeri dan Perdana Menteri adalah sangat penting dalam meredakan kegelisahan masyarakat Islam sekarang,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut mempersoalkan mengapa kes rayuan tidak diberi peluang diputuskan mengikut Undang Undang Perlembagaan di Mahkamah Rayuan.

Katanya, kes kalimah Allah bermula di Mahkamah Tinggi dan boleh dirayu oleh pihak-pihak yang terlibat sehingga ke Mahkamah Persekutuan.

“Kes rayuan ke Mahkamah Rayuan difailkan oleh Kerajaan Persekutuan yang terdahulu pada 12 Mac 2021. Apa rasional rayuan ini ditarik balik oleh Kerajaan Persekutuan sekarang?

“Adakah keputusan menarik balik rayuan tersebut dibuat secara yang betul, berniat baik, tidak menyalahi undang-undang pentadbiran?” katanya.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hari ini berkata, keputusan KDN tidak meneruskan permohonan semakan kehakiman membabitkan kes Jill Ireland lawan Kerajaan Malaysia disebabkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang dikeluarkan ketika itu menggunakan pendekatan perundangan sivil dan pentadbiran.

Saifuddin Nasution berkata, isu terbabit adalah berkaitan rampasan bahan penerbitan pada ketika itu dan bukanlah dari sudut teologi ataupun apa juga yang membabitkan penggunaan kalimah Allah.

“Ini kerana fungsi mahkamah itu sendiri adalah tidak bersesuaian untuk memutuskan hal ehwal berkaitan agama secara spesifik.

“Justeru dalam penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Mac 2021, jelas bahawa hakim membuat keputusan berdasarkan pendekatan secara pentadbiran dan tidak menyentuh mengenai penggunaan kalimah Allah serta ia konsisten dengan keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap kes Titular Roman Catholic Archbishop Kuala Lumpur lawan Menteri Dalam Negeri pada 2014.

“Bersangkutan dengan hal ini, keputusan kerajaan untuk tidak meneruskan permohonan rayuan itu adalah dibuat mengikut ‘case by case basis’ tanpa menjejaskan fakta bagi setiap satu kes yang sedang dalam tindakan mahkamah,” katanya.- MalaysiaGazette