Mohd Khairuddin Aman Razali masjid terengganu kematian jamaah Islam Khairuddin Aman Razali MN Nurul Izzah adu domba penasihat kerajaan
Mohd Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – Rayuan terhadap keputusan mahkamah yang membenarkan seorang wanita Kristian Sarawak Jill Ireland menggunakan kalimah Allah tidak sepatutnya ditarik balik.

Sebaliknya, Setiausaha Eksekutif Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, ia patut diteruskan di peringkat Mahkamah Rayuan bagi membuktikan kalimah Allah eksklusif untuk penganut agama Islam.

Sehubungan itu, beliau berharap supaya kerajaan mengambil tindakan yang selaras dengan perundangan.

“Majlis Ulama UMNO berpendirian bahawa Hakim Mahkamah Tinggi dalam kes Jill Ireland ini telah terkhilaf membuat keputusan dan sangat wajar untuk kes ini diteruskan di peringkat Mahkamah Rayuan.

“Kita berharap kerajaan melakukan yang terbaik selaras dengan peruntukan undang-undang bagi membetulkan kekhilafan di Mahkamah Tinggi,” katanya menerusi kenyataan.

Ujar beliau, sepatutnya keputusan Mahkamah Rayuan pada 2013 berkenaan penggunaan kalimah Allah tidak dibangkitkan lagi.

“Isu larangan penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama selain Islam di Malaysia telah dinoktahkan oleh Mahkamah Rayuan dipengerusikan oleh Tan Sri Apandi Ali pada 2013 dan disahkan oleh Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Tun Arifin Zakaria pada 2014 dalam kes Menteri Dalam Negeri v Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur.

“Justeru, tiada isu berbangkit bahawa kalimah Allah boleh digunakan oleh agama lain dalam konteks Malaysia. Apatah lagi dengan adanya enakmen-enakmen peringkat negeri yang memberi perlindungan terhadap hak eksklusif umat Islam di Malaysia dalam menggunakan kalimah Allah,” tambahnya.

Semalam dilaporkan, kerajaan menarik balik rayuan terhadap keputusan mahkamah yang membenarkan seorang wanita Kristian Sarawak Jill Ireland menggunakan kalimah Allah.

Notis tidak meneruskan kes itu difailkan di Mahkamah Rayuan pada 18 April lepas.

Pada 10 Mac 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan semakan kehakiman Ireland yang mahu mendapatkan pengisytiharan bahawa dia mempunyai hak menggunakan kalimah Allah untuk tujuan agama dan pendidikan.

Mahkamah Tinggi juga memutuskan bahawa arahan Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 1986 yang melarang orang bukan Islam menggunakan kalimah “Allah”, “Baitullah”, “Kaabah” dan “solat” sebagai menyalahi undang-undang dan bertentangan dengan perlembagaan. – MalaysiaGazette