Anwar Ibrahim. Foto MUHD NA’IM, 14 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini menetapkan selewat-lewatnya 30 Mei untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab penyataan pembelaan dikemukan oleh Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim.

Untuk makluman, ketika ini Anwar yang juga Presiden PKR menyaman Awang Hashim kerana mendakwa telah mengeluarkan beberapa kenyataan berunsur fitnah.

Penyataan pembelaan Awang Hashim berkaitan dakwaan beliau menuduh Anwar seorang pendendam dengan melaksanakan pendakwaan terpilih lebih teruk berbanding ketika pentadbiran pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Peguam mewakili Anwar, SN Nair hari ini mengesahkan tarikh untuk pihaknya mengemukakan jawapan pembelaan selepas pengurusan kes berkenaan secara e-review di hadapan Timbalan Pendaftar, Aisyaf Falina Abdullah hari ini.

“Kes seterusnya pada ditetapkan pada 31 Mei ini,” katanya.

peneroka Felda
Awang Hashim

Dalam penyataan pembelaan pada 3 April lepas, Awang tampil menyoal mengapa Anwar tidak mengarahkan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan atau membuat pertuduhan terhadap Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ini selepas sebelum Pilihan Raya Umum ke-15, Anwar ketika menjadi Ketua Pembangkang antara yang lantang menyoal isu Kapal Tempur Pesisir (LCS) yang dikaitkan dengannya ketika menjadi Menteri Pertahanan.

Anwar sebelum ini selaku plaintif menyatakan Awang Hashim yang dinamakan sebagai defendan telah mengeluarkan beberapa kenyataan berbaur fitnah pada 21 Februari lalu di lobi Dewan Rakyat, bangunan Parlimen di sini.  

Kenyataan itu dibuat sewaktu disoal oleh wartawan semasa Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15 sedang berlangsung.

Plaintif menyatakan kenyataan berbaur fitnah itu yang dirakam dalam bentuk audio dan video telah diterbitkan semula oleh Awang Hashim di aplikasi TikTok melalui akaun di bawah nama “@asriasri64chanel”.

“Video yang diterbitkan dalam akaun TikTok itu telah mendapat tontonan melebihi 21,700 kali, 348 komen, melebihi 180 butang ‘like’, melebihi 22 butang ’favourite’, dan 55 kali perkongsian setakat tarikh pemfailan tindakan ini,” menurut Anwar dalam pernyataan tuntutan itu.

Tambah Ahli Parlimen Tambun itu, kenyataan berbaur fitnah itu turut diterbitkan semula oleh portal berita Malaysiakini pada hari yang sama menerusi dua artikel bertajuk ‘MP PAS: Sikap pendendam Anwar lebih teruk daripada Mahathir’ manakala dalam versi Bahasa Inggeris, bertajuk “Why no LCS charges, MP asks ‘more vindictive than Mahathir’ PM’.

Plaintif mendakwa kenyataan berbair fitnah itu antara lainnya menunjukkan Anwar mempunyai sifat pendendam serta membalas dendam, telah menyalahgunakan kuasa sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dengan mencampuri, mengganggu serta sewenang-wenangnya mengarahkan agensi penguatkuasaan undang-undang dan pendakwaan di Malaysia untuk agenda politik peribadi.

Ahli Parlimen Tambun itu berkata pada hari sama (21 Feb) portal MalaysiaKini menerbitkan semula sebahagian kenyataan fitnah daripada audio dan video tersebut menerusi dua artikel bertajuk ‘MP PAS: Sikap pendendam Anwar lebih teruk daripada Mahathir’ manakala dalam versi Bahasa Inggeris, bertajuk “Why no LCS charges, MP asks ‘more vindictive than Mahathir’ PM’.

Menurut Anwar, kenyataan fitnah itu antaranya membawa maksud beliau mempunyai sifat pendendam, telah menyalahgunakan kuasa sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dengan mencampuri, mengganggu serta sewenang-wenangnya mengarahkan agensi penguatkuasaan undang-undang dan pendakwaan di Malaysia untuk agenda politik peribadi.

Sehubungan itu, plaintif mendakwa kenyataan yang dibuat defendan telah memudaratkan dan mencederakan imej dan reputasi Anwar sebagai Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Ahli Parlimen Tambun dan kini sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 dan Menteri Kewangan Malaysia.

Anwar juga mendakwa kenyataan berbaur fitnah itu tidak tidak berasas, palsu dan mempunyai niat jahat.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am,  teruk, teladan, ganti rugi pampasan yang tidak dinyatakan jumlahnya. -MalaysiaGazette