KUALA LUMPUR – Komposer dan lagenda muzik India, ‘Thenisai Thendral’ Deva akan mengadakan konsert solo di sini untuk pertama kali pada bulan depan selepas 30 tahun.
Deva atau nama sebenarnya, Devanesan Chokkalingam, 72, berkata, beliau bersyukur kerana dikelilingi peminat ‘luar biasa’ di negara ini.
“Malaysia terkenal di India dalam kalangan artisnya. Semua hendak adakan konsert mereka untuk peminat mereka di sini (Malaysia). Sini, peminat tidak semestinya hanya dalam kalangan komuniti India yang memahami bahasa itu, sebaliknya keunikan negara ini sendiri terdiri dalam pelbagai kaum.
“Malah Malaysia juga pada saya adalah lubuk rezeki buat kami, ramai yang terus hidup dan berjaya kerana adanya peminat luar biasa seperti ini.
“Saya suka sangat berada di sini bukan untuk hiburkan anda sahaja sebaliknya juga suka aura negara ini. Makanannya juga begitu hebat begitu juga dengan penduduknya,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Deva menceburi dunia muzik lebih empat dekad dengan menghasilkan muzik untuk lebih 400 buah filem dalam pelbagai bahasa.
Sementara itu, Pengasas City Production Rishi Saravanan berkata, pihaknya bukan hanya sekadar mahu mengadakan konsert ‘biasa-biasa’ sebaliknya mahukan konsert yang luar biasa untuk menikmati muzik era 80 dan 90-an.
“Bukan sahaja saya membesar dengan muzik Deva ini sebaliknya ibu bapa saya sendiri saya meminatinya. Pada kami, itulah juga konsep dan objektif penganjuran konsert ini. Ramai pada era itu mahukan sesuatu yang seperti ini,” ujarnya.
Difahamkan ramai barisan penyanyi seperti Hariharan, Anuradha Sri Ram, Unni Krishnan, Harini, Sabesh, Murali, Srikanth Deva, SP Charan, Priyanka dan Alka Ajith akan menjayakan konsert tersebut.
Konsert tersebut akan diadakan di Arena Axiata, Stadium Bukit Jalil pada 3 jun ini. – MalaysiaGazette