Presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC), Tan Sri Musa Hassan bersama Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim (kanan) menyerahkan serahan aduan mangsa-mangsa penipuan syarikat pelaburan ke Suruhanjaya Syarikat Malaysia di Pejabat Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 16 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) hari ini menghantar lebih 300 aduan daripada mangsa sindiket penipuan pelaburan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Setiausaha Agungnya, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, kesemua mangsa sindiket itu kerugian hampir RM900 juta melibatkan dua syarikat pelaburan yang tidak berdaftar dengan SSM.

Beliau berkata, sindiket penipuan pelaburan berkenaan didalangi oleh beberapa syarikat yang ada antara mereka
juga telah bertindak sebagai sebuah syarikat agensi untuk mempromosi pelaburan-pelaburan yang tidak sah.

“Syarikat ini tidak mengikut peruntukan undang-undang di Malaysia dan tidak berdaftar dengan SSM yang tertakluk dalam Akta Skim Kepentingan 2016,” katanya pada sidang media di lobi pejabat SSM, Kuala Lumpur Sentral hari ini.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim bercakap kepada media mengenai serahan aduan bersama mangsa-mangsa penipuan syarikat pelaburan ke Suruhanjaya Syarikat Malaysia di Pejabat Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 16 MEI 2023.

Jelas Hishamuddin, mangsa-mangsa penipuan skim pelaburan itu telah diperkenalkan dengan pelbagai jenis tawaran pelaburan termasuk Islamic Redeemable Preference Share (RPS-I).

“RPS-I atau lebih dikenali sebagai saham khas boleh tebus adalah pelaburan melalui tabung amanah dan short term note serta lain-lain skim pelaburan tidak sah yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat tersebut,” katanya.

Menurutnya, masalah mulai timbul apabila mangsa-mangsa tidak lagi menerima bayaran sama ada dividen mahu pun keuntungan seperti yang telah dijanjikan oleh syarikat-syarikat tersebut.

“Lebih menyedihkan apabila wang pelaburan yang dilabur oleh mangsa-mangsa tidak dipulangkan semula oleh syarikat yang telah mengambil wang pelaburan tersebut,” katanya.

Sebelum ini, MHO telah mengemukakan aduan kes sama kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) namun masalah itu masih tiada jalan penyelesaian.

“Oleh kerana itu, hari ini, MHO bawa aduan mangsa sindiket penipuan pelaburan ini kepada SSM,” katanya.

Katanya lagi, syarikat terbabit mengaburi mata orang ramai dengan menyamar seolah-olah agensi mereka sah di sisi undang-undang.

“Malah syarikat itu menawarkan skim pelaburan dengan menggunakan nama-nama besar seperti bekas pesara kerajaan dan nama individu yang mempunyai reputasi dari segi kewangan

“Mereka juga menggunakan syarikat yang meluluskan dari segi kelulusan patuh syariah. Ini menyebabkan ramai telah tertipu kerana mereka percaya syarikat yang mereka labur merupakan syarikat yang sah di sisi undang-undang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette