Kok Chin menunjukkan dadah jenis syabu dan heroin yang dirampas pada sidang media di IPK Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN –  Gaya hidup mewah seorang penganggur membongkar kegiatan mengedar dadah jenis heroin dan syabu dilakukannya sejak pertengahan tahun lalu.

Kegiatan suspek berjaya dihidu Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang sebelum sepasukan polis menahannya di hadapan sebuah kedai di Bukit Tengah, Bukit Mertajam pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, suspek berusia 33 tahun ditahan ketika berada di atas motosikal dan pemeriksaan ke atasnya membawa kepada penemuan 520 gram syabu bernilai RM20,500.

Kok Chin (dua dari kiri) ketika menyampaikan sidang media di IPK Pulau Pinang hari ini.

“Susulan penahanan itu, suspek membawa polis ke kawasan parkir kereta di sebuah pangsapuri sebelum menemui empat peket plastik lutsinar mengandungi lebih 1.8 kilogram heroin bernilai RM25,050 dalam sebuah kenderaan.

“Siasatan lanjut mendapati suspek yang mempunyai tiga rekod lampau membabitkan dadah dan jenayah itu aktif dalam kegiatan pengedaran dadah sejak pertengahan tahun lalu.

“Kesemua dadah yang dirampas bernilai RM45,550 dan dipercayai untuk pasaran tempatan,” katanya pada sidang media di IPK  Pulau Pinang hari ini.

Turut dirampas dua kereta bernilai RM180,000 dan sebuah motosikal RM18,000.

Tambah Kok Chin, suspek direman selama tujuh hari sehingga 20 Mei ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata, seramai 37 warga tempatan ditahan selepas didapati positif dadah dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Bukit Mertajam semalam.

Kok Chin menunjukkan gambar tangkapan suspek positif dadah di pusat hiburan.

Jelas beliau, seramai 90 individu diperiksa dalam operasi khas bermula pukul 12.30 tengah malam hingga 5 pagi itu.

“Daripada jumlah itu, 37 orang yang terdiri daripada 21 lelaki dan 16 wanita didapati positif dadah,” katanya.

Kesemua mereka ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette