GEORGE TOWN – Dua pemilik syarikat direman selama tiga hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan berhubung kes tuntutan palsu terhadap Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) melebihi RM400,000.
Perintah reman ke atas dua lelaki yang masing-masing berusia 35 dan 62 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Mohamad Azlan Basri di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.
Mereka diwakili barisan peguam dari Partibhan & Co dan Anba & Associates.
Kedua-dua mereka ditahan susulan Op Hire 2.0 yang dijalankan SPRM di seluruh negara sejak semalam.
Ops Hire 2.0 adalah operasi bagi mengekang penyelewengan dan ketirisan dana kerajaan hasil tuntutan palsu dilakukan pengarah syarikat menerusi program insentif pengambilan pekerja dan program latihan (Penjana).
Ia juga merupakan lanjutan daripada Op Hire 1.0 yang dilaksanakan pada 2022 di seluruh negara membabitkan kerjasama SPRM dan Perkeso.
Media sebelum ini melaporkan, SPRM akan mendapatkan perintah tahanan reman ke atas 47 pengarah syarikat yang ditangkap dalam Op Hire 2.0 berkaitan program Penjana di seluruh negara hari ini.
Kesemua mereka yang ditahan berusia antara 30 hingga 70 tahun itu dikatakan telah mengemukakan tuntutan mengendalikan program pengambilan dan latihan pekerja kepada pihak Perkeso.
Jumlah tuntutan yang terbabit setakat ini adalah antara RM450,000 hingga RM2 juta. – MalaysiaGazette