rayuan Islam
Afnan Hamimi Taib Azamudden

KUALA LUMPUR – Kerajaan Madani didakwa kelihatan terlalu terdesak untuk meraih sokongan pengundi bukan Islam menjelang enam pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.

Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, tindakan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung penggunaan kalimah Allah oleh seorang wanita bukan Islam membuktikan mereka tidak mengambil berat isu sensitiviti umat Islam di negara ini.

Menurut beliau, mereka seolah-olah melanggar dan menderhaka titah Sultan Selangor dan Sultan Johor yang mahu rayuan terhadap kes tersebut diteruskan.

“Jelas, sultan dan raja-raja Melayu, selaku ketua agama Islam di negeri baginda, amat risau dan mengambil berat akan soal ini dalam memelihara akidah umat Islam di negeri mereka.

“Malangnya, dengan tanpa segan silu, kerisauan baginda-baginda tidak dipedulikan, malah dilanggar oleh Kerajaan Madani,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Semalam, media melaporkan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan Malaysia menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.

Keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat pada 10 Mac 2021 selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill yang memohon perisytiharan mengenai hak perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama berkenaan.

Notis pemberhentian rayuan semakan kehakiman itu difailkan Pejabat Peguam Negara di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya, 18 April lalu.

Afnan Hamimi yang juga Ahli Parlimen Alor Setar menambah, tindakan itu juga bakal mengundang ketidakharmonian dalam kalangan masyarakat majmuk yang hidup berpaksikan hormat menghormati antara agama dan ajaran masing-masing.

Beliau memberitahu, keputusan itu sudah pasti menggores perasaan seluruh umat Islam di negara ini serta mengundang kepada kepincangan dan ketidakharmonian kaum.

“Sudah tiba masanya umat Islam di Malaysia melihat bagaimana tidak seriusnya Kerajaan Madani gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dalam menguruskan kemajmukan masyarakat serta memelihara kesucian agama Islam sebagai agama Persekutuan.

“Biarlah sejarah mencatat kegagalan ini sebagai ‘sumbangan’ dari Kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim,” jelasnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.