Khaw Kok Chin.

GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang mengesahkan 12 individu termasuk enam anggota dan seorang pegawainya ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kegiatan judi ekor haram.

Difahamkan, tangkapan ke atas pegawai, anggota polis serta orang awam itu dilakukan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman membabitkan beberapa serbuan selama dua hari bermula Sabtu lalu.

Bagaimanapun, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin menegaskan pihaknya tidak boleh mengulas lanjut memandangkan kes tersebut masih dalam siasatan.

“Saya boleh mengesahkan ada tangkapan tujuh anggota polis dan lima orang membabitkan judi ekor haram dibuat.

“Namun saya tidak boleh mengulas lanjut kerana siasatan berhubung kes itu sedang dilakukan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.

Difahamkan, mereka yang ditahan terdiri daripada anggota berpangkat konstabel, koperal, lans koperal, sarjan dan asisten superintendan, masing-masing berusia lingkungan 27 hingga 48 tahun.

Mereka ditahan sekitar Air Itam.

Turut ditahan lima lelaki awam berusia lingkungan 30 hingga 55 tahun bagi membantu siasatan sama.

Selain itu, pihak polis juga merampas peralatan yang digunakan untuk kegiatan tersebut serta wang tunai dipercayai hasil aktiviti sama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast