Keadaan bas sekolah yang dilanggar trak.

MELBOURNE – Sekumpulan kanak-kanak sekolah rendah mengalami trauma selepas kemalangan bas yang mengerikan di Melbourne, Australia.

Bas itu membawa 45 pelajar apabila ia dilanggar oleh sebuah trak dari belakang lalu berpusing sebelum terbalik.

Kira-kira 18 kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun dikejarkan ke hospital, untuk prosedur pembedahan kecemasan.

Seorang pelajar masih dirawat di unit rawatan rapi.

Pemandu lori telah didakwa memandu secara berbahaya menyebabkan kecederaan parah.

Australia mempunyai rekod keselamatan jalan raya di bawah purata berbanding dengan ekonomi maju yang lain. Ia menduduki tempat ke-20 daripada 36 negara OECD untuk kematian jalan raya.

Polis berkata, insiden itu berlaku kira-kira 900 meter dari  Sekolah Rendah Exford, di pinggir barat Melbourne.

Kanak-kanak terperangkap di dalam bas sebelum orang ramai termasuk pemandu trak dan guru-guru mereka bergegas ke tempat kejadian untuk membantu anggota kecemasan mengeluarkan mereka.

Pakar bedah bekerja hingga awal pagi untuk merawat kanak-kanak yang cedera parah.

Kecederaan mereka termasuk patah anggota badan sehingga terpaksa dipotong serta kecederaan kepala, kecederaan tulang belakang dan luka serius.

Tujuh kanak-kanak dirawat  di hospital dalam keadaan serius, termasuk seorang di unit rawatan rapi, kata Hospital Kanak-Kanak Diraja.

Pemandu bas berusia 52 tahun itu turut dibawa ke hospital dengan kecederaan yang tidak meragut nyawa. – Agensi