Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof bersama Menteri Koordinator Hal Ehwal Ekonomi Indonesia, Airlangga Hartarto (kanan) mempengerusikan Mesyuarat Menteri-Menteri Di Bawah Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) Kali Ke-11 di Intercontinental Hotel, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 17 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Misi ke Brussel pada 30 dan 31 Mei ini akan menjadi medan kepada Malaysia dan Indonesia melawan Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) yang menjejaskan indusri minyak sawit.

Selain kedua-dua negara, Honduras yang menjadi anggota terbaharu Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) juga akan menghantar wakil dalam misi berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, negara yang terlibat akan menjelaskan inisiatif yang telah dilaksanakan bagi menepati syarat EUDR.

Fadillah berkata, industri minyak sawit telah menepati Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG)

“Apa yang penting untuk menghantar mesej peting dan kuat bahawa minyak sawit telah menyumbang banyak dan menepati syarat UNSDG iaitu untuk mengatasi isu kemiskinan yang kita telah capai. Sebab itu kita ada banyak pekebun kecil.

“Apa sahaja tindakan yang diambil oleh EU tanpa berbincang atau melibatkan kita ia sudah tentu ia memberi kesan kepada pekebun kecil,” katanya kepada pemberita dalam sidang media.

Beliau sebelum itu mempengerusikan Mesyuarat Menteri CPOCP kali ke-11 dengan Honduras merupakan anggota terbaharu ketiga pertubuhan itu.

Mesyuarat tersebut dipengerusikan secara bersama dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Indonesia Airlangga Hartarto.

“Minyak sawit telah terbukti menjadi penyelesaian kepada keselamatan makanan terutama situasi geo-politik terkini di Eropah melibatkan perang Ukrain, minyak sawit berikan alternatif kepada rantaian bekalan makanan.

“Di beberapa negara termasuk Indonesia dan Malaysia, minyak sawit terkait dengan bekalan bio-diesel yang melibatkan keselamatan bekalan tenaga.

“Dengan strategik komoditi, minyak sawit terbukti memberi manfaat lebih-lebih lagi kepada pekebun kecil, bukan shaja kepada kepada negara CPOCP tetapi kepada dunia,” kata Airlangga.

Sebelum ini dilaporkan, Pelaksanaan Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) menjadi halangan perdagangan yang akan memberi impak langsung kepada operasi dan perniagaan untuk tempoh jangka panjang.

Blok Kesatuan Eropah (EU) adalah destinasi eksport yang penting, justeru mustahak untuk negara pengeluar minyak sawit menangani isu EUDR sebaik mungkin kerana ia akan menjejaskan mata pencarian berjuta-juta pekebun kecil kelapa sawit serta industri.-MalaysiaGazette