KUALA LUMPUR – Barisan peguam pemerhati bagi kes Bella akan hadir mengikuti prosiding rayuan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali esok.

Perkara itu dinyatakan menerusi satu kenyataan bersama oleh empat peguam iaitu Datuk Khairul Anwar Rahmat, Datuk Baljit Singh, Datuk Ikbal Salam dan Mohd Radzi Yatiman.

“Pasukan peguam pemerhati adalah kesinambungan titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor dan Yang Amat Mulia Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam yang memberikan penegasan agar anakanda Bella diberi keadilan sehingga selesai semua peringkat rayuan.

“Laporan lengkap berkenaan perjalanan prosiding kes telah dipersembahkan ke Istana Johor dari semasa ke semasa beserta cadangan penambahbaikan undang-undang sedia ada, cadangan peningkatan penguatkuasaan serta cadangan kempen kesedaran dan laporan awam terhadap gejala penganiayaan kanak-kanak,” menurut kenyataan itu.

Jelas kenyataan itu, barisan peguam pemerhati amat berpuas hati dengan laporan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bahawa Bella kini berada dalam keadaan ceria, sihat dan sejahtera di bawah penyeliaan JKM.

“Anakanda Bella yang kami ziarahi pada peringkat awal kes ini telah menunjukkan kecederaan fizikal (dan trauma) yang dialaminya, namun kini semakin pulih dan bersemangat mengikuti rapat perbicaraan kes penganiayaan terhadap dirinya.

“Anakanda Bella juga dapat memahami keputusan pemenjaraan terhadap Siti Bainun pada 3 Mei lalu,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, barisan peguam turut memuji usaha Tunku Mahkota dan Che’ Puan Khaleeda sebelum ini yang mana ia telah membuka lembaran baharu dalam isu hak asasi kanak-kanak apabila mengumumkan kerjasama dengan Tabung Kecemasan Kanak-Kanak Antarabangsa PBB (UNICEF) iaitu institusi bertaraf global yang banyak melakukan khidmat kemanusiaan khususnya kanak-kanak di seluruh dunia.

Selain itu, keprihatinan aktivis #justiceforbella serta liputan meluas pihak media dalam kes penderaan amat dihargai kerana tidak seharusnya ada seorang pun kanak-kanak di atas muka bumi ini yang terpaksa hidup dalam ketakutan akibat keganasan atau penganiayaan.

Sebelum ini, media melaporkan bagaimana kisah seorang remaja sindrom Down yang dikenali sebagai Bella telah diabai dan dianiayai oleh Siti Bainun.

Setelah prosiding mahkamah berlangsung hampir dua tahun, akhirnya Hakim Mahkamah Sesyen, Tuan Isralizam Sanusi memutuskan Siti Bainun didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast